Pemuda PH gesa SPRM siasat kenyataan Abdul Hamid

Shazni Munir (tengah) ketika sidang akhbar Pemuda PH di SPRM Kuala Lumpur pada Selasa.
Shazni Munir (tengah) ketika sidang akhbar Pemuda PH di SPRM Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Jumaat lalu.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Pemuda PH memandang serius terhadap kenyataan Abdul Hamid memandangkan kenyataan tersebut mempunyai merit yang perlu disiasat oleh pihak SPRM.

“Kita telah menghantar tiga laporan kepada pihak SPRM iaitu yang pertama berkaitan kenyataan Ketua Polis Negara, di mana terdapat penyalahgunaan kuasa dalam menentukan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

“Yang kedua, isu lompat parti di mana terdapat unsur rasuah dan ketiga kenyataan terbaru Abdul Hamid pada pagi tadi yang mengatakan Menteri Dalam Negeri menggunakan Jabatan Cawangan Khas PDRM bagi tujuan kepentingan politik,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya, pemuda PH berharap SPRM akan terus melakukan siasatan untuk mendedahkan salah laku tersebut kepada rakyat Umum.

Tambahnya, laporan yang dibuat oleh Pemuda PH itu akan dibawa ke SPRM Putrajaya dan berharap mendapat respons yang segera daripada pihak tersebut.

Pada Jumaat, Abdul Hamid dalam satu sidang media mendakwa terdapat campur tangan politik menguasai pelantikan dalam hierarki pasukan polis.

Selain itu juga, beliau turut mengesahkan berlakunya tawar-menawar untuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta sekali gus membuktikan terdapat rasuah politik,

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ujarnya, Pemuda PH turut menggesa agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merehatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sehingga kes tersebut selesai.

“Bukan sahaja Perdana Menteri, saya juga turut menggesa Ketua Polis Negara kini memberi nasihat kepada Hamzah untuk rehat.

“Terlalu banyak laporan dibuat terhadap beliau malah pagi tadi pimpinan PH membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wang serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sudah tampil membuat laporan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Cawangan Khas diminta lakukan kerja-kerja di luar bidang keselamatan negara - Hamid Bador