Real Madrid ke London tanpa Varane

Varane (kiri) mengawal ketat pemain Chelsea, Timo Werner semasa perlawanan timbal balik pertama Liga Juara-Juara di Stadium Alfredo di Stefano pada 27 April lalu. Foto: AFP
Varane (kiri) mengawal ketat pemain Chelsea, Timo Werner semasa perlawanan timbal balik pertama Liga Juara-Juara di Stadium Alfredo di Stefano pada 27 April lalu. Foto: AFP
A
A
A

GERGASI La Liga, Real Madrid terpaksa melupakan khidmat Raphael Varane menjelang aksi timbal balik kedua Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stadium Stamford Bridge pada awal pagi Khamis.

Tonggak pertahanan berusia 28 tahun tersebut terpaksa dikeluarkan pada babak kedua oleh pengendali Zinedine Zidane ketika Los Blancos melakar kemenangan 2-0 ke atas Osasuna dalam aksi liga pada Sabtu.

“Kami berharap kecederaan (Varane) Rafa tidak terlalu serius, tetapi sekarang saya tidak dapat memberitahu anda apa-apa. Saya bercakap dengannya dan dia memberitahu saya itu tidak terlalu serius dan saya harap begitulah keadaannya.

“Kami hanya memikirkan apa yang kami lakukan dan menikmati kemenangan ke atas Osasuna sebelum mengalihkan fokus ke perlawanan seterusnya. Jadi mari kita bergembira dengan tiga mata ini kerana saya gembira untuk pemain saya serta usaha yang mereka lakukan.

“Kami akan berjuang hingga akhir kerana saya percaya Real Madrid masih berpeluang. Saya tidak mengatakan kami akan menang tetapi kami akan memberikan yang terbaik,” kata Zidane pada Sabtu.

Bagaimanapun selepas pemeriksaan lanjutan pada Ahad mengesahkan Varane terpaksa direhatkan selama 10 hari sekali gus menyebabkannya tidak lagi berada dalam kesebelasan utama Zidane berdepan anak buah Thomas Tuchel.

“Setelah ujian yang dilakukan hari ini ke atas pemain kami, Raphael Varane oleh Real Madrid Medical Services, dia didiagnosis mengalami kecederaan pada otot kanan,” kata Real Madrid dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Varane sering menjadi antara pilihan bekas pemain Perancis dan Real Madrid tersebut dalam memperkuatkan benteng gergasi Eropah berkenaan yang kini terarah kepada Eder Militao atau Nacho dalam mengisi kekosongan itu.

Artikel Berkaitan: