Covid-19: 12 hospital diaktifkan sebagai Hibrid Covid

Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom turut memberi rawatan kepada pesakit Covid-19. - Foto Bernama Gambar kecil: Vidyananthan
Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom turut memberi rawatan kepada pesakit Covid-19. - Foto Bernama Gambar kecil: Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 12 hospital negeri ini telah beroperasi sebagai hospital Hibrid Covid bagi menampung peningkatan kes Covid-19.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, hospital Hibrid Covid-19 termasuk Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang khusus bagi memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Katanya, berdasarkan statistik pada Isnin, seramai 49 orang pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di enam hospital di negeri ini.

"Kapasiti penggunaan katil ICU khusus Covid-19 meningkat sebanyak 114 peratus berbanding hanya 43 katil dikhususkan untuk kes itu.

"39 daripada 49 pesakit ini memerlukan bantuan pernafasan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa

Vidyananthan berkata, kerajaan negeri berdepan kekangan untuk pembukaan lebih banyak bilangan katil ICU untuk Covid-19 berikutan sumber manusia yang terhad.

Selain itu, bilangan pesakit kritikal bukan Covid-19 dilaporkan agak tinggi dan mereka turut memerlukan rawatan rapi di ICU.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, berlaku peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan warga sekolah, melibatkan guru dan pelajar sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan kes berpunca daripada penularan di dalam rumah ekoran aktiviti sosial keluarga dan ramai ahli keluarga dari jauh bertemu dan berkumpul.

"Kebanyakannya tidak mematuhi produser operasi standard (SOP) dan amalan 3S iaitu ruang sempit, sesak dan sembang dekat.

"Masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial keluarga seperti berkumpul di pusat hiburan, kenduri kahwin dan aktiviti riadah yang lain secara berkumpulan," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai sentiasa mengamalkan normal baharu dan perlu mematuhi SOP bagi mengurangkan risiko penularan dalam kalangan keluarga dan kenalan.

"Beban yang ditanggung oleh Jabatan Kesihatan untuk menguruskan bilangan kes yang tinggi ini diharap berkurangan dengan kerjasama masyarakat memerangi Covid-19," katanya.