20 ahli Parlimen wanita gesa kerajaan tangani isu jenaka rogol

Wan Azizah, Nancy Shukry dan Azalina
Wan Azizah, Nancy Shukry dan Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 20 ahli Parlimen wanita menggesa kerajaan supaya bersikap serius dan menangani segera isu berhubung kes jenaka dan ancaman rogol terhadap seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa, mereka menuntut komitmen daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberikan jaminan keselamatan kepada pelajar di sekolah.

Justeru katanya, pelajar seharusnya berasa selamat di sekolah dan dilindungi oleh guru mereka dan bukan sebaliknya.

"Pada Isnin, kami ahli-ahli Parlimen wanita telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan keprihatinan kami mengenai kes jenaka rogol yang didedahkan oleh seorang pelajar berusia 17 tahun yang didakwa dilakukan oleh seorang guru lelaki di sebuah sekolah, dan ancaman rogol daripada rakan sekelasnya wajar diberi perhatian serius dan diambil tindakan segera oleh kerajaan.

"Walaupun laporan polis telah pun dibuat oleh mangsa, kami telah meminta pihak kerajaan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) dan dasar yang sedia ada berhubung kaedah siasatan yang dilakukan terhadap laporan gangguan seksual yang berlaku di sekolah seperti ini dan di semua institusi pendidikan," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan) dan Datuk Seri Nancy Shukri (Batang Sadong).

Artikel Berkaitan: