Norizam luas empayar bola sepak

Foto TRW Kelantan FC
Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman terus melebarkan sayap dalam arena bola sepak apabila membeli kelab PSPS Riau yang beraksi dalam Liga 2 Indonesia.

Norizam atau dikenali Zamsaham berkata, kesediaan beliau menjadi pemilik baharu PSPS Riau itu turut didorong dengan sokongan kuat peminat bola sepak kelab itu sendiri selain menganggap ia bakal membuka lembaran baharu buat kedua-dua kelab miliknya.

"Saya adalah peminat bola sepak dan pelabur, saya melihat masa depan dan bukan mahukan keuntungan sekarang.

"Ya, saya sayang penyokong PSPS Riau sebagaimana saya sayang penyokong TRW Kelantan FC yang mahukan pasukan bola sepak mereka naik. Ibarat maruah jugalah," katanya menerusi catatan yang dimuat naik di akaun Facebooknya pada Isnin.

Majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Norizam dan Presiden PSPS Ari Nugroho Arsadian berlangsung di Riau, Indonesia dan disaksikan Ketua Perkhidmatan Belia dan Sukan Riau, Boby Rachmat serta Konsulat Malaysia Pekanbaru, Wan Nurshima Wan Jusoh.

Norizam berkata, PSPS Riau mempunyai nama julukan, Askar Bertuah tetapi lebih menarik mereka bakal memakai gelaran sama seperti Kelantan iaitu TRW (The Red Warriors) tetapi dengan nama The Riau Warriors.

"Sekarang Kelantan FC boleh terus bekerjasama dengan pasukan PSPS Riau kerana pemiliknya sama. Terima kasih semua yang membantu dan mendoakan supaya perjalanan saya dalam industri bola sepak berjaya," katanya.

Untuk rekod, PSPS Riau yang ditubuhkan pada 1955, menamatkan kempen Liga 2 Indonesia 2019 di tangga kesembilan malah pernah menggunakan khidmat jurulatih dari Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah tahun lepas manakala penyerang import Terengganu FC, Makan Konate juga pernah menyarung jersi kelab itu bagi musim 2012-2013.

Artikel Berkaitan: