52 kes positif di Johor libatkan Kluster Jalan Impian Emas 17

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 52 individu disahkan positif Covid-19 melibatkan Kluster Jalan Impian Emas 17 sehingga Isnin.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata Kluster Jalan Impian Emas 17 merupakan kluster komuniti di daerah Johor Bahru membabitkan sebuah surau.

Katanya, kes pertama dikesan melalui saringan bergejala pada 21 April lalu dan siasatan menunjukkan kluster itu ada kekerapan menghadiri aktiviti berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih di surau berkenaan.

"Susulan itu, saringan kontak dijalankan membabitkan ahli keluarga, rakan sekerja dan jemaah surau," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Vidyananthan, seramai 252 individu sudah disaring dengan 52 daripada mereka didapati positif dan tiga kematian dilaporkan.

Katanya, penutupan surau berkenaan dijalankan bermula 24 April 2021 sehingga Ahad lalu.

"Kluster Jalan Impian Emas 17 masih dalam pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan dijangka tamat pada 29 Mei sekiranya tiada kes baharu dilaporkan selepas ini," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!