Gerakan lapor SPRM isu pembinaan pusat penyimpanan ayam

Gerakan Pulau Pinang memohon SPRM menjalankan siasatan berhubung isu pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Pasar Awam Batu Lanchang.
Gerakan Pulau Pinang memohon SPRM menjalankan siasatan berhubung isu pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Pasar Awam Batu Lanchang.
A
A
A

GEORGETOWN - Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa berhubung isu pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Pasar Awam Batu Lanchang di sini.

Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan Pulau Pinang, H'ng Khoon Leng berkata, laporan yang dibuat menerusi atas talian pada jam 7.35 pagi itu membabitkan dua pihak iaitu kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Katanya, kedua-duanya didakwa gagal menjawab segala persoalan yang diutarakan berhubung isu terbabit.

"Laporan ini dibuat berdasarkan 10 asas antaranya mengenai keluasan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam yang didakwa melebihi kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Pembinaan pusat itu dikatakan seluas 3,527 meter persegi dengan kos mencecah sehingga RM11 juta.

"Berdasarkan manual Jabatan Perkhidmatan Veterinar, tiga kategori pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam hanya seluas antara 93 sehingga atau lebih 130 meter persegi," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kehadirannya di Ibu Pejabat SPRM itu bagi menyerahkan dokumen sokongan berikutan tidak boleh dimuat naik menerusi portal badan berkuasa tersebut.

Katanya, turut menjadi persoalan ialah syarikat yang bakal mengendalikan pengedaran ayam di pusat itu didakwa langsung tidak mempunyai pengalaman dalam industri tersebut dan hanya mempunyai latar belakang dalam bidang hartanah warisan.

Artikel Berkaitan:

Khoon Leng (kiri) bersama beberapa ahli Gerakan Pulau Pinang menyerahkan dokumen sokongan kepada SPRM untuk siasatan dijalankan.
Khoon Leng (kiri) bersama beberapa ahli Gerakan Pulau Pinang menyerahkan dokumen sokongan kepada SPRM untuk siasatan dijalankan.

"Persoalan ini telah kami bangkitkan dalam memorandum yang diserahkan kepada kerajaan negeri pada 8 April lalu namun sehingga kini, tiada jawapan malah gesaan kami tidak dilayan," katanya.

Jelasnya, laporan kepada SPRM itu bukan langkah terakhir kerana pihaknya akan terus menggesa untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut.

"Isu ini amat serius kerana ia menjejaskan lebih 30 peniaga ayam di pasar berkenaan. Kerajaan negeri dan MBPP perlu perjelaskan agar semua pihak tidak syak wasangka terhadap mereka," katanya.

Parti Gerakan Pulau Pinang sebelum ini memberi amaran kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih membisu berhubung isu pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di pasar berkenaan.

Ia berikutan banyak perkara yang tidak jelas termasuk status sebenar projek tersebut.

Pada 8 April lalu, Parti Gerakan Pulau Pinang dan Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu pembekalan ayam dan penggunaan peti sejuk (chiller) yang didakwa membebankan peniaga ayam di bahagian pulau negeri ini.

Selain penyerahan memorandum bantahan di Komtar itu, lebih 30 peniaga ayam turut berkumpul secara aman bagi menyuarakan bantahan terhadap larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP yang akan dikuatkuasakan pada Jun.