UNI-MLC sambut baik semakan semula gaji minimum

Mohamed Shafie
Mohamed Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan kajian semula perintah gaji minimum.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, semakan itu wajar mengambil kira perkembangan, keperluan dan cabaran semasa impak penularan Covid-19, Revolusi Perindustrian 4.0 dan digitalisasi.

Malah, katanya, ia juga selari dengan saranan UNI-MLC yang meminta kerajaan mengkaji semula kesemua undang-undang buruh termasuk Akta Kesatuan Sekerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso).

"UNI-MLC mahu kerajaan mengadakan sesi libat urus dan perbincangan bersama kesatuan sekerja dalam melaksanakan perkara yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

"Kementerian Sumber Manusia perlu segera memanggil mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi membincangkan bersama isu dan perkara berkaitan dengan pekerja di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamed Shafie berkata, UNI-MLC melihat terdapat keperluan mendesak agar kadar gaji permulaan atau gaji minimum pekerja dikaji semula kerana kadar RM1,250 pada masa kini adalah terlalu rendah.

"Malah ada majikan yang membayar upah dan gaji lebih rendah daripada paras gaji minimum ditetapkan kerajaan. Ia sangat tidak adil dan mengecewakan," katanya.

Tambah beliau, UNI-MLC juga mahu kerajaan campur tangan bagi menjamin gaji semua pekerja terjamin dan bukan sekadar gaji minimum.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, majikan juga perlu ada semangat perkongsian pintar dalam menyediakan ekosistem upah dan gaji yang bersifat kemanusiaan dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata.

"UNI-MLC juga yakin penyediaan kadar upah dan gaji yang kondusif akan menjadikan Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada buruh asing dalam jangka panjang," kata beliau.

Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin dalam amanat khas sempena Hari Pekerja berkata, kerajaan sedang melaksanakan kajian semula perintah gaji minimum bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosioekonomi semasa.

Beliau berkata, biarpun pelbagai bantuan disediakan kerajaan namun masih terdapat golongan pekerja yang terjejas dan akan mengambil masa lebih lama untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum tercetusnya wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sedang kaji perintah gaji minimum 2020: Muhyiddin