X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Analogi Wan Saiful tidak masuk akal, kata Shahril

Shahril Sufian
A
A

SHAH ALAM - Menyamakan peralihan jawatan dari Cawangan Khas ke Ketua Polis Negara dengan tindakan lompat parti ahli Parlimen yang dipilih rakyat merupakan analogi yang tidak masuk akal.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak perlu menggunakan analogi berkenaan.

Beliau berkata, Wan Saiful yang menganggap gesaan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat budaya ahli Parlimen melompat parti sebagai sesuatu yang pelik.

“Bukan hanya Ketua Polis Negara yang musykil ada unsur rasuah apabila ramai wakil rakyat 'berhijrah' sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ramai pihak lain terutamanya rakyat menolak budaya 'katak' berleluasa.

"Ramai pemimpin UMNO yang menggesa dakwaan Abdul Hamid itu disiasat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: KPN gesa SPRM siasat ahli politik lompat parti

Shahril turut menyoal rasional kenyataan Wan Saiful kepada media mengenai isu berkenaan yang dilihat tidak lebih daripada mempertahankan sesuatu yang salah.

“Saya tak rasa perlu diterangkan sebab memang tak masuk akal YB lompat parti dihalalkan dengan alasan penjawat awam pun ada yang pindah jabatan atau naik pangkat," katanya.

Beliau berkata, rakyat boleh menilai motif dakwaan Abdul Hamid tetapi dakwaan itu tetap dilihat serius.

Shahril berkata, sama ada sengaja atau tidak, Wan Saiful seakan mengaku banyak lompat parti berlaku di bawah Perdana Menteri ke tujuh dan Perdana Menteri ke lapan itu.

“Mungkin sebab itu beliau terpanggil menyerang bekas Ketua Polis Negara itu secara tidak langsung mengingatkan rakyat parti mana yang paling mengaut untung hasil pesta melompat parti besar-besaran tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.

Shahril bagaimanapun mengakui soal lompat parti adalah hak ahli Parlimen namun mempersoalkan sekiranya terdapat unsur rasuah adakah jawatan berkenaan masih lagi menjadi hak ahli Parlimen terbabit.

"Jika mempermain mandat rakyat, mempermain jentera parti yang memenangkan calon-calon itu, adakah ia menjadi hak dan halal lagi? Tepuk dada tanya selera,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!