Mesir beli 30 jet pejuang dari Perancis

Gambar fail menunjukkan jet pejuang Rafale buatan syarikat Dassault, Perancis. - AFP
Gambar fail menunjukkan jet pejuang Rafale buatan syarikat Dassault, Perancis. - AFP
A
A
A

PARIS - Perancis bersetuju untuk menjual sebanyak 30 buah jet pejuang Rafale ke Mesir, kata satu sumber yang rapat dengan kontrak perjanjian penjualan itu pada Isnin.

Menurut laman sesawang penyiasatan Disclose, perjanjian itu telah ditandatangani pada 26 April lalu sebagai sebahagian daripada kontrak pertahanan yang bernilai hampir empat bilion euro (RM19.78 bilion).

Nilai pembelian jet pejuang Rafale buatan syarikat Dassault di Perancis itu adalah 3.75 bilion euro (RM18.55 bilion).

Dua kontrak turut diberikan kepada syarikat pengeluar senjata MBDA dan syarikat Elektronik Safran dan Pertahanan yang kedua-duanya mengeluarkan peralatan untuk peluru berpandu.

Nilai keseluruhan penjualan itu ialah 3.95 bilion euro (RM19.54 bilion), lapor Disclose.

Satu sumber kepada kontrak itu yang enggan namanya didedahkan mengesahkan kepada AFP bahawa Mesir telah menempah 30 lagi jet pejuang tetapi tidak memberikan butiran lanjut tentang harganya.

Ketika dihubungi oleh AFP, Kementerian Pertahanan Perancis dan syarikat Dassault enggan memberikan komen.

Bagaimanapun, satu sumber kerajaan yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, pengumuman tentang pembelian itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Syarikat Dassault berkata, Mesir akan mendapat pinjaman kewangan yang dijamin oleh Perancis bagi membeli jet-jet keluarannya.

Perancis menganggap Mesir sebagai pelanggan utama senjata dan peralatan pertahanan keluaran negaranya.

Mesir merupakan negara asing yang pertama membeli jet Rafale pada tahun 2014 apabila membeli sebanyak 24 buah jet itu.

Pembelian jet itu yang dibuat oleh Qatar, India dan Greece sebelum ini telah menjadikan pesawat tempur tersebut sebagai salah satu kejayaan buat industri pertahanan Perancis. - Agensi