Sebulan mati tergantung

Anggota bomba membantu menurunkan mayat mangsa yang ditemukan tergantung di dalam kawasan hutan di Kampung Bukit Jetik, Sungai Tong, Setiu. - Foto: Ihsan Bomba
Anggota bomba membantu menurunkan mayat mangsa yang ditemukan tergantung di dalam kawasan hutan di Kampung Bukit Jetik, Sungai Tong, Setiu. - Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

SETIU - Mayat seorang lelaki yang dijumpai penduduk kampung dalam keadaan tergantung pada dahan sebatang pokok di kawasan hutan Kampung Alur Lek, di sini dipercayai meninggal dunia sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, ia berdasarkan hasil siasatan awal pakar patalogi dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) ke atas mayat mangsa yang telah mereput.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan orang awam berkaitan penemuan mayat dalam keadaan tergantung dengan tali terjerut pada leher dan pergelangan tangan diikat sekitar jam 9.05 pagi pada Isnin.

"Bertindak daripada laporan itu, enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian di kawasan hutan bukit bersebelahan ladang kelapa sawit iaitu kira-kira 350 meter dari jalan raya.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pihak polis menemui mayat mangsa tergantung dengan tali diikat pada dahan pokok manakala kedua-dua belah tangan mangsa juga diikat menggunakan tali jenis yang sama," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui bersama dokumen peribadi dalam keadaan berbaju manakala seluar yang dipakai dijumpai di atas tanah berhampiran dipercayai telah diusik binatang buas.

Menurut Afandi, pasukan Forensik IPK Terengganu turut tiba di lokasi kejadian manakala pasukan bomba membantu menurunkan mayat mangsa dan di hantar ke HSNZ untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata, bapa mangsa yang mengenal pasti mayat tersebut memaklumkan mangsa mempunyai sejarah penyakit mental dan pernah dirawat sebagai pesakit mental di Hospital Hulu Terengganu pada 2016.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kali terakhir bapanya melihat mangsa pada 8 April lalu manakala pada 2 Mei lalu penduduk kampung memberitahu menemui motosikal mangsa terbiar di kawasan hutan sekitar lokasi kejadian.

"Pada peringkat awal, kes ini akan disiasat di bawah sudden death report (SDR) atau kematian mengejut," katanya.

Pada Isnin, beberapa penduduk kampung yang memasuki kawasan hutan untuk mencari rakan mereka yang hilang sejak hampir sebulan lalu menemui satu mayat lelaki dalam keadaan tergantung pada dahan pokok di kawasan hutan di Kampung Alur Lek, di sini.