X

Kindly register in order to view this article
!

Daging import, isu bekalan dan kenaikan harga bawang jadi perhatian

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara diadakan pada Isnin dipengerusikan oleh Ronald (kanan).
A
A

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara diadakan pada Isnin berbincang mengenai hala tuju, strategi dan isu berkaitan sekuriti makanan negara.

Mesyuarat dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee itu turut membentangkan lima kertas kerja termasuk Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara yang disarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kenyataan kementerian terbabit, mesyuarat berlangsung di Wisma Tani itu diadakan secara hibrid dengan kehadiran secara dalam talian 17 ahli tetap melibatkan ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi.

Mesyuarat turut melibatkan ahli akademik, pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah dilantik.

"Antara Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dicadangkan adalah mengikut kluster ditubuhkan sebelum ini iaitu Kluster Ketersediaan, Kluster Kebolehcapaian, Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan dan Kluster Kestabilan dan Kemampanan.

"Selain itu, topik yang diberi perhatian adalah berkaitan tindakan pengukuhan pemantauan pengimportan daging serta strategi bagi menangani isu bekalan dan kenaikan harga bawang," kata kenyataan itu.

Dua lagi kertas kerja turut dilaporkan iaitu Status Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dan Prestasi Negara dalam Indeks Prestasi Malaysia Dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2020.

Menurut kenyataan, idea serta saranan yang diketengahkan ahli jawatankuasa eksekutif itu akan diperhalusi dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dijangka bersidang Jun ini.

"Jawatankuasa eksekutif yang dipengerusikan menteri itu ditubuhkan bagi menyelaras cadangan untuk mengukuhkan sekuriti makanan negara serta mengawal selia pelaksanaan keputusan dan arahan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara," katanya.

Tambahnya, kerajaan akan terus mengambil langkah progresif bagi memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agromakanan ke tahap lebih baik, sekali gus memastikan bekalan makanan terjamin, mencukupi dan terkawal dalam apa jua keadaan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!