X

Kindly register in order to view this article
!

‘Duit raya’ hampir RM200,000

Wan Saiful Wan Jan
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Isnin melancarkan kempen ‘Jom Beraya, Jom Menyimpan 2021’ bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengutamakan simpanan di musim perayaan.Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, melalui kempen yang dilancarkan itu, pihaknya ingin memberikan duit raya berjumlah hampir RM200,000 kepada 500 pemenang.“Hadiah utama yang ditawarkan ialah duit raya berjumlah RM8,000 bagi cabutan peringkat nasional.

“Duit raya RM5,000 pula adalah hadiah utama bagi cabutan peringkat negeri. Sungguh lumayan,” katanya semasa majlis pelancaran kempen berkenaan yang disiarkan menerusi Facebook rasmi PTPTN.

Wan Saiful berkata, tempoh promosi kempen berkenaan dilaksanakan selama sebulan bermula pada Sabtu lalu sehingga 31 Mei ini.

“Dengan simpanan bersih serendah RM100 sahaja dalam tempoh promosi, anda layak mendapat satu cabutan dalam peringkat negeri.

“Bagi simpanan bersih serendah RM300 dalam tempoh promosi, anda layak menyertai cabutan peringkat nasional,” katanya.

Menurutnya, walaupun hari raya diraikan dalam suasana normal baharu, kempen berkenaan pastinya akan memeriahkan sambutan Aidilfitri pada kali ini dengan hadiah lumayan yang disediakan.

“Oleh itu, jangan bertangguh lagi. Mungkin anda pemenang yang kami cari. Duit raya yang dapat itu boleh disimpan di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” katanya.

Beliau turut berharap agar kempen yang dilancarkan PTPTN itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Kepada ibu bapa, jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk memenuhi hadiah lumayan dengan simpanan di SSPN,” katanya.

Dalam pelancaran berkenaan juga, Wan Saiful turut mengumumkan bahawa SSPN telah mempunyai 4.9 juta akaun dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM8.51 bilion.“Ini satu jumlah yang besar dan saya amat berbangga dengan pencapaian ini. Ianya menggambarkan bahawa usaha kami dalam membudayakan penabungan selama ini tidak sia-sia.“Masyarakat sekarang ini semakin cakna tentang pentingnya menabung daripada awal usia untuk masa depan pendidikan tinggi anak-anak,” katanya.

Menurut Wan Saiful, sejak SSPN dilancarkan pada tahun 2004, ia menjadi pelan simpanan pendidikan terbaik pilihan utama ibu bapa di negara ini.

“Produk simpanan SSPN ini telah dibangunkan sesuai dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira di mana mereka berada. Baik di bandar atau di luar bandar.

“Malah, produk SSPN ini juga telah disediakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak seluruh masyarakat terutama demi kepentingan golongan M40 dan B40,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!