X

Kindly register in order to view this article
!

Acara baca puisi Nanggala 402 secara dalam talian, Sabtu ini

Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom akan diadakan pada 8 Mei dari 10 malam hingga 12 tengah malam, sebagai menzahirkan kesedihan dan simpati terhadap tragedi kapal selam itu. - Foto Antara
A
A

KUALA LUMPUR - Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom akan diadakan pada 8 Mei dari 10 malam hingga 12 tengah malam, sebagai menzahirkan kesedihan dan simpati terhadap tragedi tenggelamnya kapal selam KRI Nanggala 402 di perairan Bali, Indonesia.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr Radzuan Ibrahim dalam kenyataan pada Selasa berkata, acara tersebut akan disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook Pemuisi Berkarya.

Beliau berkata, acara itu merupakan anjuran Pemuisi dengan kerjasama Talenta Indonesia, Universitas Sumatera Utara (USU), Perkumpulan Rumah Seni Asnur (PERRUAS) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI).

Menurut Radzuan, seramai 30 peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Korea, akan menyertai acara tersebut yang akan dirasmikan oleh Penaung Pemuisi Tan Sri Dr Hamad Kama Piah Che’ Othman.

Acara Baca Puisi Nanggala 402 anjuran Pemuisi dengan kerjasama Talenta Indonesia, USU, PERRUAS dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI).
Acara Baca Puisi Nanggala 402 anjuran Pemuisi dengan kerjasama Talenta Indonesia, USU, PERRUAS dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI).

“Peserta dari Malaysia termasuk dua Sasterawan Negara iaitu Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Zurinah Hassan, serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Seri Dr Awang Sariyan, serta Tokoh Wartawan Malaysia, Tan Sri Johan Jaaffar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Indonesia pula diwakili Profesor Madya Drs Siamir Marulafau dari USU, Asrizal Nur dari PERRUAS, dan Ketua Sumbar Talenta Sastri Bakry.

Pada 25 April lepas, Indonesia mengumumkan KRI Nanggala 402 tenggelam dan semua 53 kru terkorban, selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] KRI Nanggala 402 ditemui terbelah tiga


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!