Mungkin raya dalam PKP

Ramai masyarakat yang merindui suasana raya di kampung menanti pengumuman SOP Aidilfitri yang akan diketahui kelak.
Ramai masyarakat yang merindui suasana raya di kampung menanti pengumuman SOP Aidilfitri yang akan diketahui kelak.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan menjangkakan umat Islam di beberapa buah negeri mungkin akan beraya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar bagi mengawal dan menurunkan kembali angka penularan Covid-19 yang semakin meningkat sehingga melebihi angka 3,000 kes sejak beberapa hari lalu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, bagaimanapun PKP sekitar dua minggu itu perlu dibuat mengikut situasi penilaian risiko semasa berdasarkan lokasi tertentu sahaja.

“Jumlah jangkitan komuniti yang sangat tinggi perlu terutama di kawasan zon merah perlu diadakan PKP secara bersasar. Namun, PKP di seluruh negara melibatkan kawasan yang kurang jangkitan dalam komuniti adalah tidak wajar.

“SOP yang telah praktikkan pada tahun lepas sudah cukup bagus. Kini, apa yang penting bagi rakyat ialah sentiasa mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan elakkan berkumpul,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau turut mencadangkan beberapa SOP yang patut diikuti oleh masyarakat kini bersesuaian dengan sambutan hari raya Aidilfitri pada musim Covid-19.

“Cadangan pertama adalah tidak mengadakan jamuan atau rumah terbuka manakala kedua, elakkan solat Aidilfitri berjemaah di kawasan zon merah. Bagi kawasan selain PKP, ikut kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal serta imbasan kod QR dan membawa sejadah sendiri.

“Selain itu, elakkan kunjung-mengunjung walaupun jiran tetangga di sekitar kawasan rumah kerana kita tidak mengetahui siapakah pembawa jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, cadangan kerajaan untuk menyekat rakyat merentas negeri wajar sekiranya kawasan tersebut merupakan zon merah.

Artikel Berkaitan:

“Jadi apa pun keputusan untuk ketatkan SOP harus ada penilaian risiko yang teliti sama ada wujud atau tidak penularan komuniti. Jika wujud penularan komuniti, maka munasabah untuk meningkatkan SOP,” katanya.

Beliau turut menegaskan rakyat harus memainkan peranan mereka untuk mengamalkan prinsip cegah, amal, patuh dan pantau (CAPP) bagi membendung Covid-19 semasa perayaan Aidilfitri kelak.