PKP 3.0: Rakyat menanti penuh debar

Perasaan rakyat ketika ini bercampur-baur apabila dalam dilema antara kelangsungan ekonomi dan kesihatan awam.
Perasaan rakyat ketika ini bercampur-baur apabila dalam dilema antara kelangsungan ekonomi dan kesihatan awam.
A
A
A

SHAH ALAM- Orang ramai dalam situasi penuh debar apabila masing-masing menanti pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijangka melibatkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi menyambut Aidilfitri.

Pengumuman tersebut akan dibuat pada bila-bila masa sahaja selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berlangsung pada Isnin bagi memperincikan perkara terbabit.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu memaklumkan bahawa kerajaan akan menilai semula status PKP di beberapa negeri yang mengalami peningkatan mendadak kes Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula sebelum ini mencadangkan supaya PKP dikenakan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.

Infografik SOP Aidilfitri dengan tarikh berkuatkuasa bermula 10 hingga 20 Mei depan yang tular di media sosial telah mencetuskan kegusaran orang ramai sebelum MKN menafikan perkara tersebut.

Di Twitter, trending tanda pagar pengumuman PKP 3.0 apabila warganet menyuarakan pelbagai pertanyaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada rakyat yang resah kerana bimbang PKP 3.0 nanti akan menjejaskan kemeriahan sambutan Aidilfitri.

“Soal rakyat berdebar itu memang betul. Rata-rata daripada mereka gundah-gulana kerana risau tidak boleh balik beraya di kampung.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan sepatutnya mempunyai perancangan yang lebih jelas sebelum membuat sesuatu keputusan supaya ia tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Jika kita masih menggunakan kaedah lama untuk mengekang Covid-19, saya rasa ia tidak akan memberikan jaminan bahawa kita dapat mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha pula mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan PKP 3.0 mengikut zon sahaja dan membenarkan semua sektor ekonomi berjalan seperti biasa.

Katanya, perasaan rakyat ketika ini bercampur-baur apabila dalam dilema antara kelangsungan ekonomi dan kesihatan awam.

“Kerajaan mungkin tidak ada pilihan ketika ini kerana bimbang situasi Covid-19 di Malaysia akan menjadi lebih teruk seperti yang berlaku di India,” katanya.