X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

Covid-19 mula gugat kerajaan Modi

Imej pentadbiran Narendra Modi tercalar akibat ledakan gelombang kedua kes Covid-19 di negaranya. - Foto AFP
A
A

IMEJ Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berkuasa melalui dua pilihan raya umum iaitu pada tahun 2014 dan 2019 kini tercalar ekoran kegagalan kerajaan mengekang penularan gelombang kedua pandemik Covid-19.

Pada Ahad lalu, negara itu mencatatkan kematian iaitu 3,689 orang sehari akibat Covid-19 dengan angka keseluruhan yang meninggal dunia ialah lebih 215,000 orang dengan 392,448 kes jangkitan pada hari yang sama.

Namun, India turut mencatatkan rekod dunia apabila menjadi negara pertama yang melepasi angka 400,000 jangkitan dalam tempoh sehari pada Sabtu lalu dengan jumlah keseluruhan orang dijangkiti Covid-19 pada Ahad lalu ialah 19.5 juta orang.

Hospital-hospital kerajaan penuh dengan pesakit Covid-19 sehingga tidak mampu menerima pesakit baharu sehingga ada yang meninggal dunia semasa menunggu untuk didaftarkan masuk di hospital.

Sebahagian hospital swasta turut mengalami masalah sama dan lima pesakit Covid-19 meninggal dunia di sebuah hospital di Armritsar akibat kekurangan tabung oksigen manakala 18 pesakit turut terkorban apabila sebuah hospital di negeri Gujarat terbakar baru-baru ini.

Rumah mayat di hospital-hospital kerajaan dipenuhi dengan mayat-mayat pesakit pandemik itu sehinggakan proses pembakaran mayat terpaksa diadakan di tempat letak kereta awam kerana pusat-pusat pembakaran mayat dipenuhi dengan mayat mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Bilangan kes Covid-19 yang melonjak naik dalam gelombang kedua Covid-19 menyebabkan hospital kerajaan di India sesak dengan pesakit-pesakit pandemik itu. - Foto AFP
Bilangan kes Covid-19 yang melonjak naik dalam gelombang kedua Covid-19 menyebabkan hospital kerajaan di India sesak dengan pesakit-pesakit pandemik itu. - Foto AFP

Walaupun mengalami lonjakan kes, lebih sebulan lalu, India tetap nekad mengadakan pilihan raya peringkat negeri di lima buah negeri.

Namun, ketika perhimpunan kempen pilihan raya diadakan, ramai orang yang menghadirinya tidak memakai pelitup muka.

Secara kebetulan, rekod kes Covid-19 melonjak tinggi sebelum keputusan rasmi pilihan raya diumumkan pada Ahad lalu yang menyaksikan 175 juta pengundi layak mengundi pada Mac dan April lalu di lima buah negeri di India.

Pakar-pakar menyalahkan sikap orang ramai yang mengambil mudah tentang Covid-19 sehingga menghadiri majlis keagamaan Kimbh Mela yang dihadiri berjuta-juta penganut agama Hindu di Sungai Ganges di bandar Haridwar, utara India pada bulan lalu.

Bagaimanapun, keputusan pilihan raya yang diumumkan di negeri Bengal Barat yang didiami 90 juta orang itu pada Ahad lalu menyaksikan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi sekali lagi kalah kepada Parti Kongres Trinamool Seluruh India (TMC).

Sungguh pun mengalami kekalahan, BJP memenangi 75 kerusi meningkat daripada hanya tiga kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya negeri tahun 2016 manakala TMC menang 216 kerusi daripada 294 kerusi yang dipertandingkan dalam Dewan Perhimpunan Negeri Bengal Barat.

Berikutan kemenangan itu, Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, 66, yang juga seorang wanita dijangka mengekalkan jawatannya buat penggal ketiga selepas partinya menang undi majoriti dua pertiga.

Namun, BJP mengekalkan kemenangan di negeri Assam, timur laut India.

Sebelum keputusan pilihan raya itu diumumkan, portal berita News 18 India pada Isnin lalu melaporkan, dua beradik wanita memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut kepada ibu mereka di sebuah hospital di negeri Uttar Pradesh bagi menyelamatkan nyawanya yang kemudian disahkan meninggal dunia selepas seorang doktor tiba untuk merawatnya.

Satu rakaman video yang menunjukkan kejadian itu kemudian menjadi tular di media sosial pada Sabtu lalu dengan terdapat suara dalam rakaman tersebut mengadu tentang masalah kekurangan oksigen dan kakitangan kesihatan.

Bagaimanapun, ketika kejadian itu berlaku, tidak ada kekurangan bekalan oksigen berlaku di hospital tersebut.

India juga kini menjadi tumpuan dunia apabila beberapa buah negara antaranya Jerman, Britain, Perancis, Taiwan, Australia berjanji untuk menghulurkan bantuan peralatan kesihatan termasuk mesin oksigen kepada India.

Pada 20 Januari lalu, kerajaan India melancarkan vaksin Maitri iaitu satu proram untuk mengeksport dua suntikan vaksin Covid-19 buatan negara tersebut iaitu Covishield dan Covaxin kepada dunia.

Ketika itu, India dilaporkan hanya mencatatkan 14,112 kes baharu pandemik itu.

Walaupun menjadi negara pengeluar vaksin terbesar di dunia, negara itu tidak mempunyai vaksin Covid-19 yang mencukupi untuk melakukan vaksinasi terhadap semua penduduknya.

Menurut portal berita New York Times, sehingga 29 April lalu hanya 26 juta daripada 1.4 bilion penduduk India sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Jurucakap parti BJP, Narendra Taneja berkata kepada CNN baru-baru ini bahawa tanggungjawab dalam kes gelombang kedua Covid-19 itu kini terletak di bahu kerajaan India yang dipimpin oleh partinya sendiri.

Dalam wawancara itu, beliau berkata, partinya kini memfokuskan bagaimana cara untuk menyelamatkan nyawa penduduk negara itu akibat Covid-19 selain menyatakan keputusan untuk mengadakan pilihan raya di lima negeri itu dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya India dan parti BJP tidak mempunyai pilihan lain selain bertanding dalam pilihan raya tersebut. - Agensi


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!