Lebih 2,000 penagih, pengedar dadah ditahan

No Image Caption
A
A
A

KEMAMAN - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menahan lebih 2,000 pengedar dan penagih dadah melibatkan nilai rampasan pelbagai jenis dadah hampir RM3 juta sepanjang operasi yang dilaksanakan tahun lepas di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sepanjang tempoh berkenaan, pihaknya berjaya merekodkan 51 tangkapan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kita akan menggempur semua lokasi panas yang dikenalpasti menjadi tempat melepas gian hisap dadah dan lokasi tokan dadah menjalankan urus niaga barang terlarang ini.

"Dalam usaha melumpuhkan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah ini, kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat amat penting supaya tindakan lanjut dapat diambil," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, Hanyan ketika turun ke salah satu lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Geliga- Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini berkata, dalam tempoh empat bulan tahun ini, sejumlah 24,032 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas berbanding hanya 11,517 saman dalam tempoh sama tahun lepas.

"Antara kesalahan paling popular dikenalpasti tidak memakai tali pinggang keledar selain kesalahan lain seperti tiada lesen memandu, lesen kenderaan tamat tempoh, memotong di garisan berkembar dan mengubah aksesori.

"Selain itu, saman turut dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat," katanya.

Beliau turut menjelaskan meskipun jumlah kenderaan dijangka lebih rendah pada musim perayaan ini kerana larangan merentas negeri, tumpuan masih akan terus diberikan kepada kawasan panas dengan kekerapan kemalangan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun tahun ini tiada istilah 'musim balik kampung', pemandu harus memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.