Sabah rekod 466,556 individu daftar penerima vaksin setakat ini

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 1,692 orang lagi mendaftar sebagai penerima vaksin di Sabah pada Isnin melalui pelbagai platform menjadikan jumlah yang mendaftar setakat ini 466,556 individu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 dalam kenyataan malam Isnin berkata, jumlah itu bersamaan 15.9 peratus daripada keseluruhan populasi di Sabah.

Dalam pada itu, Masidi berkata, sebanyak 119,135 dos vaksin Covid-19 telah diberikan di Sabah, dengan 103,339 dos di bawah fasa satu manakala selebihnya iaitu 15,796 dos bagi fasa dua.

Beliau berkata, dalam fasa pertama sebanyak 54,827 individu telah menerima dos pertama manakala 48,512 individu pula sudah melengkapkan kedua-kedua dos suntikan mereka.

Katanya bagi fasa kedua pula, seramai 15,795 telah menerima dos pertama dan hanya seorang telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan.

Mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah, Masidi berkata sebanyak 57 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 58,372 kes, dengan satu kes kematian dilaporkan di Kunak, sementara seramai 106 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 57,064 orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: