Pelaksanaan PKP tidak jejas persiapan atlet ke Olimpik Tokyo

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

PERSIAPAN atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan tidak akan terjejas sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau yakin kesemua atlet terlibat dapat menjalani program latihan dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.

“Saya tidak risau. Ini kerana mereka (atlet) sudah terbiasa dengan semua pendekatan antaranya latihan berasaskan kuarantin, ‘hybrid of quarantine’ dan ‘home based approach’,” katanya selepas menghadiri majlis dengan rakan industri dan rakan strategik pelaksana program Skim Perantisan Nasional (SPN) di sini pada Isnin.

Sehingga kini, Malaysia telah mengesahkan penyertaan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo dalam sukan terjun, pelayaran, berbasikal trek, memanah dan gimnastik artistik.

Menurut laporan media, Kementerian Kesihatan mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan PKP 3.0 di negeri membabitkan kes Covid-19 tinggi bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata sebanyak 155 syarikat telah berdaftar sebagai majikan SPN dengan 22 daripadanya telah memulakan proses pengambilan perantis.

"Saya difahamkan, sebanyak 4,623 tawaran jawatan kosong dibuka dengan 524 perantis telah ditawarkan,” katanya.

Program SPN itu merupakan inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan untuk melonjakkan kebolehpasaran belia dan menyediakan peluang latihan serta pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Ia dilancarkan bersama antara Reezal Merican, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan pada 22 Julai lalu. - Bernama