Tiga nelayan terselamat selepas bot karam akibat bocor

Ketiga-tiga nelayan tersebut berjaya ditemui dan diselamatkan oleh nelayan tempatan yang lain.
Ketiga-tiga nelayan tersebut berjaya ditemui dan diselamatkan oleh nelayan tempatan yang lain.
A
A
A

KUALA KEDAH - Tiga nelayan tempatan terselamat walaupun bot mereka karam selepas mengalami kebocoran akibat terlanggar objek keras di kedudukan 3.5 batu nautika barat Pantai Sanglang, dekat sini, sekitar jam 8 pagi pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim, Noor Azreyanti Ishak berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima aduan kejadian itu daripada seorang nelayan sekitar jam 7.18 pagi selepas usaha mencari bot berkenaan oleh beberapa bot nelayan tempatan gagal.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kedah telah mengatur gerak KILAT 29 ke lokasi kejadian dan mendapati ketiga-tiga mangsa telah ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.

"Semua mangsa seterusnya dipindahkan ke atas KILAT 29 untuk dibawa balik ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah.

"Mangsa iaitu Abdullah Yaakob, 46 bersama dua kru, Muhamad Afifi Roslan, 28, dan Muhammad Qamarul Ariffin Zulkifli, 25, dikatakan keluar ke laut menaiki bot nelayan tempatan kelas A pada jam 8.00 malam semalam (Ahad).

"Dalam kejadian sekitar jam 4.00 pagi tadi, bot mangsa dipercayai mengalami kebocoran setelah melanggar objek keras dipercayai kayu ketika menuju ke tengah laut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Noor Azreyanti berkata, akibat kejadian itu menyebabkan bot mulai tenggelam dan mangsa berusaha menyelamatkan diri dengan mengguna pakai segala peralatan yang ada.

"Ketika diselamatkan hanya seorang yang memakai jaket keselamatan namun dua lagi mangsa terpaksa berpaut pada tong minyak berikutan mereka hanya membawa sepasang jaket keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka tidak cedera dan hanya mengalami sedikit keletihan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan dibenarkan pulang," katanya.