Liu Ying, Khairul Anuar pembawa Jalur Gemilang di Olimpik Tokyo

Liu Ying dan Khairul Anuar dipilih pembawa bendera Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo Jepun yang dijadualkan dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Liu Ying dan Khairul Anuar dipilih pembawa bendera Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo Jepun yang dijadualkan dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
A
A
A

BUAT pertama kalinya Malaysia akan menampilkan dua pembawa bendera di Sukan Olimpik yang dijadualkan dari 23 Julai hingga 8 Ogos di Tokyo Jepun.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Isnin mengumumkan yang memberikan penghormatan itu kepada pemain badminton beregu campuran, Goh Liu Ying dan pemanah, Khairul Anuar Mohamad.

“Selepas mengambil kira beberapa faktor, Lembaga Eksekutif telah memilih Liu Ying dan Khairul Anuar,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma MOM di sini pada Isnin.

Liu Ying, 31, dan pasangannya Chan Peng Soon yang berkedudukan ketujuh terbaik dunia akan menyertai Sukan Olimpik kedua mereka di Tokyo, selepas memenangi pingat perak ketika penampilan pertama di Rio 2016.

Khairul Anuar, 29, pemanah recurve yang juga merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Memanah Dunia 2019 akan berjuang untuk mendapatkan pingat pertamanya di Olimpik selepas menyertai London 2012 dan Rio 2016.

Beliau juga menjadi pemanah pertama negara diberikan penghormatan tersebut.

Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei merupakan pembawa bendera di Rio, Pandelela Rinong di London 2012 manakala Mohd Azizul Hasni Awang pula di Beijing 2008.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, MOM akan menganjurkan satu bengkel untuk kesemua atlet, jurulatih, persatuan sukan dan pemegang taruh berkaitan yang terlibat dengan Olimpik Tokyo, sebagai persediaan berikutan buku panduan terkini dikeluarkan penganjur, yang termasuk langkah-langkah keselamatan lebih ketat bagi menangani penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Pendekatan itu akan lebih ketat di bawah konsep gelembung dan pergerakan atlet amatlah terhad, malah mereka tidak boleh pergi ke pekan berdekatan. Tetapi apa yang kita mahukan ialah gelembung itu perlu bermula dari sini, sebelum kita bertolak.

"Terdapat perbincangan mengenai pergerakan dan kenderaan, sama ada akan menggunakan penerbangan disewa khas ataupun biasa. Perkara-perkara ini sedang dibincangkan bersama pemegang taruh berkaitan,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi kurang baik atlet terjun di Piala Dunia di Tokyo, Mohamad Norza berkata, penerjun perlu menyesuaikan diri kepada situasi pertandingan, kerana ini adalah kejohanan mereka yang pertama sejak latihan dan pertandingan diberhentikan akibat pandemik lebih setahun yang lepas, namun berharap mereka akan kembali ke prestasi terbaik pada Julai.

Mohamad Norza juga berkata, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Vietnam 2021 telah mengesahkan senarai akhir 40 jenis sukan dan 526 acara, termasuk 28 acara baharu, manakala 30 acara dibatalkan.

“Daripada 10 acara yang kita rayu, mereka menerima acara kumite wanita 50 kilogram sukan karate,” katanya. - Bernama