Penerbangan Malaysia Airlines dari India tidak bawa penumpang

Malaysia Airlines
Malaysia Airlines
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines Bhd menegaskan bahawa penerbangannya dari India pada 1 hingga 3 Mei tidak membawa penumpang selain kru penerbangan yang kekal berada di dalam pesawat semasa transit.

Sebagai langkah berjaga-jaga, syarikat penerbangan itu juga tidak membenarkan kakitangan penyelenggaraan di India memasuki pesawatnya, menurut syarikat itu dalam kenyataan pada Isnin.

“Penerbangan yang disediakan semasa tempoh itu dari India adalah penerbangan kargo sepenuhnya menggunakan pesawat penumpang-ke-kargo (P2C) Malaysia Airlines yang membawa barangan terdiri daripada barang farmaseutikal, bekalan ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” menurut kenyataan itu.

Sejak negara mengenakan larangan sementara kemasukan pengembara dari India ke Malaysia pada 28 April, syarikat penerbangan itu telah membatalkan semua jadual penerbangan penumpang ke dan dari India untuk mematuhi arahan itu.

“Malaysia Airlines mendapati tuduhan daripada beberapa individu bukan hanya memudaratkan reputasinya tetapi juga menganggapnya sebagai ancaman kepada kredibiliti negara dalam mengawal penularan Covid-19.

“Oleh itu, syarikat penerbangan ini membuat laporan polis terhadap dua individu iaitu Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi dan Muhammad Fahmi Abdullah atas dakwaan salah mereka di media sosial,” jelasnya.

Malaysia Airlines mengulangi bahawa semua penerbangan oleh syarikat penerbangan itu adalah tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di negara berkenaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: