Lori tiada cukai jalan lebih 12 tahun ditahan

Ahmad Adnan (kanan) dan Ahmad Tarmizi (kiri) melihat keadaan lori muatan kelapa sawit yang uzur serta tidak mempunyai cukai jalan lebih 12 tahun lalu di Plaza Tol Teluk Intan, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) pada Isnin.
Ahmad Adnan (kanan) dan Ahmad Tarmizi (kiri) melihat keadaan lori muatan kelapa sawit yang uzur serta tidak mempunyai cukai jalan lebih 12 tahun lalu di Plaza Tol Teluk Intan, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) pada Isnin.
A
A
A

TELUK INTAN - Sebuah lori membawa muatan kelapa sawit bukan sahaja dikesan membawa muatan berlebihan malah didapati tidak mempunyai cukai jalan sejak 12 tahun yang lalu.

Lori berkenaan antara 10 kenderaan berat yang ditahan dalam sekatan jalan raya Op Perdagangan (timbang berat) di Plaza Tol Teluk Intan, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), di sini pada Isnin.

Operasi di beberapa lokasi sekitar Teluk Intan dan Hutan Melintang bermula pada 8 pagi itu dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Turut sama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan berat berkenaan membawa lebih muatan ditetapkan dan mempunyai kesalahan lalu lintas lain termasuk tiada cukai jalan melebihi 12 tahun.

Menurutnya, susulan itu pemandu lori yang berusia 41 tahun itu ditahan untuk tindakan lanjut.

“Pemandu berkenaan mempunyai lesen memandu dan dia mendakwa akur mengikut arahan majikan yang mahu kenderaan berat itu terus beroperasi

"Operasi ini dilakukan bagi mengenal pasti kenderaan berat yang membawa lebih muatan dan kesalahan lalu lintas lain terutama ketika menjelang Aidilfitri," katanya kepada pemberita di IPD Hilir Perak di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Adnan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 57(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana lebih muatan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, beliau menjelaskan, operasi itu turut menyita lima kenderaan berat kerana salah guna permit, beroperasi ketika permit ditahan dan tiada lesen memandu, selain mengeluarkan lima saman, manakala JPJ juga turut mengeluarkan lima saman.

Katanya, dalam operasi tersebut, seramai 10 individu warga tempatan diperiksa selain turut menerima maklumat mengenai pemandu warga asing, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ Perak, Ahmad Tarmizi Saad berkata, kenderaan berat yang dikesan tiada cukai jalan lebih 12 tahun itu juga turut didapati tiada lesen pengendali dan lesen pembawa.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan masih terdapat tonto yang memberi maklumat kehadiran pihak berkuasa kepada pemandu lori.

Katanya, JPJ mengambil maklumat dan akan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut terhadap operasi tonto tersebut.