Tiga lelaki warga asing disyaki pecah rumah diberkas

Pelbagai barangan disyaki digunakan untuk aktiviti jenayah pecah rumah turut dirampas.
Pelbagai barangan disyaki digunakan untuk aktiviti jenayah pecah rumah turut dirampas.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai tiga lelaki warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pecah rumah di Seksyen 14 di sini pada 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek berusia 27 hingga 33 tahun itu ditahan pada jam 3.20 pagi Ahad.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Sea Park yang sedang membuat ronda cegah jenayah mengesan sebuah kereta jenis Volkswagen dalam keadaan mencurigakan di Seksyen 14 di sini.

"Suspek cuba bertindak agresif dan menyerang pihak polis ketika pemeriksaan, namun kita berjaya memberkas mereka.

"Kita turut menemui dan merampas pelbagai barangan yang disyaki digunakan dalam melakukan jenayah pecah rumah," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin berkata, kejayaan tangkapan itu susulan laporan seorang lelaki warga emas yang mendakwa rumahnya dipecah masuk.

"Seorang lelaki berusia 68 tahun menyedari kejadian itu setelah dia pulang ke rumahnya pada jam 7.30 pagi.

"Mangsa mendapati semua pintu bilik tidur rumahnya terbuka dan barang berada dalam keadaan berselerak. Dia juga mendapati pintu gril tingkap bilik belakang telah diumpil dan pintu kaca tingkap juga telah dipecahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 kanun Keseksaan," katanya.