X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Program vaksin AstraZeneca secara sukarela akan diperluaskan: Khairy

Khairy Jamaluddin ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Program pelaksanaan suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) Covid-19 secara sukarela akan diperluaskan setelah kesemua semua 268,000 slot temu janji telah dipenuhi hanya dalam tempoh tiga jam pada Ahad.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, di bawah pelaksanaan program vaksinasi kedua vaksin berkenaan kelak, kerajaan akan menangani masalah individu yang tidak mempunyai akses Internet dan bekalan pengagihan vaksin.

“Demi perancangan masa depan program AstraZeneca (sukarela). Kami akan menghubungi klinik komuniti supaya kami dapat (terus) menawarkan (vaksin) secara sukarela," katanya pada sidang akhbar mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini pada Isnin.

Menurut Khairy, Malaysia akan mempunyai bekalan vaksin AZ yang mencukupi apabila sebanyak 1.1 juta dos vaksin dijadualkan tiba dari kemudahan COVAX pada Mei ini dan pada Jun sebanyak 610, 000 dos akan diperoleh dari syarikat farmaseutikal AstraZeneca sendiri.

Pada Julai pula, katanya, sebanyak 410, 000 dos akan diterima manakala sebanyak 1.2 juta dos akan tiba pada Ogos dan September nanti.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan memutuskan jarak masa untuk AZ esok berdasarkan keberkesanan, logistik dan peningkatan kes.

Diminta mengulas mengenai keputusan Sarawak untuk tidak menerima vaksin AZ ke negeri itu, Khairy berkata, beliau berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut setelah melihat sambutan menggalakkan dan keyakinan orang ramai terhadap vaksin tersebut.

"Semalam, kita tengok keyakinan (orang ramai) terhadap AZ sangat baik sekali. Terpulang kepada kerajaan Sarawak, sekiranya mereka buat keputusan untuk terima AZ selepas berasa yakin, saya terbuka untuk buka (permohonan) di Sarawak," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, JKJAV membuat keputusan untuk meneruskan program temu janji secara sukarela vaksin berkenaan setelah mempertimbangkan mengenai keraguan orang ramai terhadap suntikan vaksin tertentu sebelum ini.

Katanya, sebelum ini, seramai 8,000 telah membatalkan pendaftaran vaksin mereka menerusi aplikasi MySejahtera, setelah Malaysia mengumumkan akan meneruskan pemberian vaksin AZ dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Katanya, kira-kira 80 peratus individu yang membatalkan pendaftaran mereka, telah mendaftar semula di bawah program berkenaan setelah suntikan vaksin AZ diperkenalkan secara sukarela. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!