Tukar fikiran, tiada kenderaan antara punca tidak hadir suntik vaksin

Mohd Faizal (dua dari kiri) ketika melawat PPV di Dewan Dato'Bahaman Shamsuddin pada Isnin.
Mohd Faizal (dua dari kiri) ketika melawat PPV di Dewan Dato'Bahaman Shamsuddin pada Isnin.
A
A
A

KUALA PILAH - Menukar fikiran saat akhir selain memberi alasan tidak mempunyai kenderaan antara punca penerima vaksin di daerah ini membatalkan janji temu untuk divaksin pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, seramai 99 daripada 270 penerima vaksin tidak hadir untuk menerima suntikan tersebut pada hari pertama fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di tiga lokasi iaitu Dewan Dato' Bahaman Shamsuddin, Klinik Kesihatan Juasseh dan Klinik Kesihatan Johol.

"Ada di antara mereka ini turut melahirkan rasa bimbang dan takut lalu menukar fikiran untuk tidak divaksin.

"Berhubung isu kenderaan sepatutnya tidak ada masalah berikutan kami di pihak jabatan ada menyediakan kenderaan untuk tujuan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 daerah Kuala Pilah menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Dewan Dato' Bahaman Shamsuddin dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan daerah Kuala Pilah, Dr Noraliza Radzali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daerah Kuala Pilah merekodkan jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera kedua terendah di Negeri Sembilan setakat ini.

"Pendaftaran vaksin menerusi aplikasi berkenaan di daerah ini agak mengecewakan apabila kira-kira 20,000 daripada 73,000 penduduk Kuala Pilah yang mendaftar sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, terdapat faktor lain yang menyebabkan keadaan itu berlaku antaranya capaian internet yang rendah di kawasan tertentu seperti kawasan pedalaman," katanya.

Katanya, justeru Jawatankuasa Pemerkasaan Komuniti dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diarahkan untuk menyantuni warga emas dan penduduk kampung terlibat supaya menerima vaksin ini.

"Dalam pada itu, pejabat kesihatan daerah turut memainkan peranan dengan turun padang ke tempat tumpuan awam bagi menggalakkan dan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mendaftar serta menerima vaksin," katanya.

Sementara itu, warga emas, Yusuff Abd Razak, 70, menyifatkan suntikan vaksin itu adalah demi melindungi dirinya dan orang sekeliling daripada penularan Covid-19.

"Saya akui tidak berasa gementar untuk menerima suntikan vaksin, jadi orang ramai tidak perlu khuatir dan takut kerana vaksin ini mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain dijamin selamat," katanya.