Dakwaan kadar vaksinasi rendah dalam negara tidak benar: Khairy

 Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Dakwaan kononnya kadar vaksinasi di dalam negara rendah dan perlahan adalah tidak benar, sebaliknya pemberian suntikan vaksin dibuat mengikut jadual penghantaran bekalan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, setakat ini negara telah menerima sebanyak 1,938,660 dos vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca dan daripada jumlah itu sebanyak 1,453,382 dos telah disuntik.

“Jadi, ini menunjukkan kadar penggunaan vaksin yang diterima di dalam negara adalah 75 peratus. Kalau baru 10 peratus, ya lah perlahan.

“Maka, ini bukan soal kadar vaksinasi yang rendah dan bukannya kita tidak mahu beri orang ramai vaksin dengan cepat. Isunya bekalan dihantar mengikut jadual,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan program imunisasi tersebut di sini pada Isnin.

Beliau berkata, sebanyak 25 peratus vaksin lagi telah dikhususkan untuk janji temu suntikan yang disusun berdasarkan kepada jadual penghantaran.

“Kita akan teruskan dengan 80 peratus lagi selepas raya nanti kerana sekarang terdapat kekangan disebabkan kes Covid-19 yang meningkat, kekangan tenaga kerja dan sebagainya.

“Bila bekalan vaksin sampai lagi, kita akan terus gerakkan vaksin itu untuk disuntik masuk pada lengan penduduk Malaysia. Tiada soal kita simpan vaksin dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, keputusan kerajaan negeri Pahang untuk memberi vaksin jenis Sinovac kepada pekerja hospitaliti dibuat sebelum mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada 6 April.

Artikel Berkaitan:

"Dalam mesyuarat itu, JKJAV telah menyemak semula penggunaan vaksin Sinovac daripada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas termasuk mereka yang mempunyai komorbiditi.

“Kami berpegang pada keputusan menyemak semula (penggunaan) vaksin Sinovac berdasarkan data klinikal dan perkembangan amalan penggunaan vaksin itu di pelbagai negara di dunia,” katanya.

Khairy sebelum ini menafikan dakwaan bahawa inokulasi sejumlah pekerja Genting Group dilakukan atas arahannya.

Beliau berkata, penerima vaksin di bawah fasa pertama program vaksinasi kebangsaan itu ditentukan berdasarkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Hadapan yang dikeluarkan oleh JKJAV pada 1 Mac 2021.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang pada 29 April memaklumkan vaksinasi pekerja daripada industri hospitaliti dilakukan berdasarkan beberapa faktor termasuk kluster melibatkan Genting Highlands serta peningkatan jumlah dos vaksin yang diterima negeri itu.

Menurut jawatankuasa itu, usaha untuk mendapatkan penerima bagi tambahan 5,600 vaksin Sinovac bermula awal Mac dengan 3,036 orang daripada sektor hospitaliti.

Sementara itu, Khairy berkata, mereka sedang bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menggalakkan rumah penjagaan warga emas yang tidak berlesen untuk tampil dan mendaftarkan penghuninya untuk program imunisasi itu.

“Kami memberi jaminan tiada tindakan akan diambil semasa program imunisasi dan kami menggalakkan mereka untuk mendaftar,” katanya. - Bernama