PRK Rantau: DUN serah notis kekosongan Isnin depan

M Ravi
M Ravi
A
A
A

PORT DICKSON - DUN Negeri Sembilan dijangka akan menyerahkan notis kekosongan kerusi Rantau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Isnin ini.

Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan, M Ravi berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam waktu terdekat sebelum pengumuman secara rasmi dibuat.

"Saya telah berbincang mengenai perkara itu dengan Speaker, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan mungkin Isnin depan, kita akan umum kerusi DUN Rantau kosong selepas serah notis pada SPR," katanya kepada pemberita ketika ditemui hadir pada majlis Stesen Minyak BHPetrol Sepang Lukut di Taman Perindustrian Lukut di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya di kerusi DUN Rantau pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal.

ARTIKEL BERKAITAN: Rayuan Tok Mat ditolak, PRK Rantau menyusul

Saya akan pertahankan kerusi DUN Rantau: Tok Mat

Sementara itu, ditanya mengenai calon yang akan diletakkan, M Ravi berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

"Sebelum ini PKR Negeri Sembilan telah menyerahkan beberapa senarai calon untuk dipertimbangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14 Dr S Streram yang merupakan calon PH yang mewakili PKR tidak dibenarkan bertanding kerana tidak membawa pas calon yang dikeluarkan SPR untuk memasuki pusat penamaan calon sekali gus calon BN yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohamad Hasan diumumkan menang tanpa bertanding.

Pada 23 Mei lepas, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula.

November lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta-merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

Berikutan itu, Mohamad memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.