Rentas negeri hadiri kenduri di KL punca varian Afrika Selatan di Kelantan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Aktiviti rentas negeri oleh penduduk Kelantan bagi tujuan 'makan kenduri' menjadi penyumbang kepada penularan pandemik Covid-19 dari jenis Varian South African B.1.351 di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, sebanyak 10 kes dikesan membabitkan varian berkenaan dari Kluster Bunut Sarang Burung telah dikesan menular di negeri ini setakat Ahad.

"Kita mengesan varian ini hasil pergerakan rentas negeri apabila ada rakyat Kelantan pergi ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri sebelum membawa balik virus berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Isnin.

Menurutnya, susulan itu tidak wajar kesalahan itu diletakkan di bahu perantau semata-mata kerana ia membabitkan kedua-dua pihak iaitu rakyat Kelantan yang berkunjung ke luar selain orang luar masuk ke negeri ini.

Dr Izani berkata, bagaimanapun ada dalam kalangan masyarakat tempatan yang mempunyai surat kebenaran sama ada ia betul atau direka-reka sehingga sukar untuk pihak polis mengesan salah laku itu.

"Bila tunjuk surat, polis akan lepas, kalau nak baca satu-satu surat semasa sekatan jalan raya jawabnya panjanglah jem," katanya.

Dalam pada itu, Dr Izani berharap dalam keadaan sekarang masyarakat tidak kira berpangkat atau tidak kalau tiada kerja penting jangan keluar.

Menurutnya, jika tiada keperluan elok berada di rumah dan elak berada di kawasan sesak.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang membimbangkan kebolehjangkitan varian ini terlalu tinggi dan ia boleh mengurangkan imuniti badan seseorang.

"Tidak cukup dengan itu jika terkena ia boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk dari sedia ada dan menurunkan respon terhadap vaksin," katanya.

Beliau berkata, semua orang perlu bertanggungjawab dan bukan hanya tahu menuding jari kepada sesetengah pihak sahaja.

Katanya, kesedaran rakyat perlu supaya Kelantan tidak jadi seperti negara India dan kalau boleh minta dijauhkan.

Dr Izani berkata, fasiliti hospital dan Pusat Kuarantin Risiko Rendah (PKRC) Covid-19 sudah kritikal, manakala kakitangan kesihatan sudah kepenatan.