Polis panggil Neelofa, suami isu rentas negeri ke kedai karpet di Nilai 3

Gambar tular Neelofa dan suami dipercayai di kedai karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan.
Gambar tular Neelofa dan suami dipercayai di kedai karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan.
A
A
A

NILAI - [DIKEMASKINI] Polis menjalankan siasatan terhadap gambar dan video selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz yang dipercayai berada di sebuah premis perniagaan Nilai 3 di Negeri Sembilan, pada 3 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya akan memanggil pasangan selebriti tersebut untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai siasatan.

"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan kawalan Pergerakan Bersyarat (No4) 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selebriti sensasi berkenaan terus mencetuskan kontroversi di media sosial apabila sekali lagi dia didakwa 'merentas negeri' ke Pusat Perniagaan Nilai 3 di Negeri Sembilan.

Pada Ahad, Neelofa dipercayai memuat naik video di Instagram Story menunjukkan dia berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai 3, sebelum memadamnya.

Tindakan bekas pengacara program MeleTop itu sekali lagi mengundang sensasi di kalangan warganet susulan tindakan beraninya 'merentas negeri' dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sebelum ini Neelofa dikompaun sebanyak RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB ketika majlis perkahwinannya dengan PU Riz yang berlangsung pada 27 Mac lalu.

Artikel Berkaitan: