MUIP bantu selenggara SAR KAFA di Jengka

Dr Asmadi (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil Felda di Pejabat Felda Jengka pada Isnin.
Dr Asmadi (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil Felda di Pejabat Felda Jengka pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak enam Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Felda Jengka di sini menerima peruntukan RM45,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sumbangan itu diagihkan menerusi skim bantuan am MUIP bagi penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menyalurkan sumbangan berkenaan, jika pihak pengurusan sekolah membuat permohonan bagi tujuan itu.

"Apa sahaja permohonan melibatkan kerja-kerja menukar atap sekolah yang uzur, membaiki tandas murid yang pecah, baik pulih pagar, mengecat bangunan lama dan penggantian kerusi meja murid yang telah rosak, kita akan pertimbangkan.

"Kita tahu sekolah-sekolah SAR KAFA ini mempunyai sumber kewangan yang terhad, jadi pihak kita akan membantu mengikut permohonan daripada pihak sekolah," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Dr Asmadi menyampaikan replika kepada wakil Ketua Peneroka Felda Jengka, Abu Bakar dan guru-guru Besar SAR KAFA dan Pengurus MUIP Cawangan Jengka Mohd Isa Husain.

Dalam pada itu, beliau berharap sumbangan yang disalurkan itu akan bukan sahaja memberikan keselesaan bahkan dapat memastikan suasana pembelajaran murid sentiasa berada dalam keadaan yang selamat dan kondusif.

Artikel Berkaitan: