Lebih 10 tan sisa, tual kayu bulat pelbagai spesis disita

Abdul Khalim (kanan) menunjukkan antara barangan yang disita melibatkan ketiga-tiga serbuan berkenaan.
Abdul Khalim (kanan) menunjukkan antara barangan yang disita melibatkan ketiga-tiga serbuan berkenaan.
A
A
A

TANAH MERAH - Jabatan Perhutanan Negeri menyita 10 tan sisa dan tunggul kayu, termasuk tual kayu bulat pelbagai spesis tanpa pas pemindah yang sah dalam tiga operasi berasingan, sejak Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, serbuan tersebut dilakukan pihaknya berdasarkan maklumat dan aduan awam.

Menurutnya, kes pertama melibatkan serbuan pada 29 April lalu di sebuah kilang kayu getah di Jalan Machang-Tanah Merah dengan penahanan seorang warga tempatan dalam lingkungan 40 tahun.

“Hasil serbuan mendapati terdapat beberapa longgokan tual kayu bulat pelbagai spesis di lokasi berkenaan dan pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang membenarkan beliau memiliki hasil hutan berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 69(1) Akta Perhutanan Negara 1984: Operator Loji Penukaran Dikehendaki Mempunyai Pas Pemindah dan Rekod Ukuran," katanya ketika ditemui di Pejabat Perhutanan Tanah Merah di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Abdul Khalim berkata, serbuan bagi kes kedua pula dilakukan pada 30 April di sebuah premis perniagaan kayu sisa di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang turut menahan seorang suspek bagi membantu siasatan.

“Kami menemui longgokan sisa kayu iaitu tunggul kayu, kulit kayu dan bongkah kayu pelbagai spesis seberat sembilan tan tanpa pas pemindah yang sah.

“Suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 84(1), Akta Perhutanan Negara 1984: Memiliki Hasil Hutan Secara Menyalahi Undang-undang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Khalim (tengah) menunjukkan barangan yang disita melibatkan salah serbuan yang dijalankan pihaknya.
Abdul Khalim (tengah) menunjukkan barangan yang disita melibatkan salah serbuan yang dijalankan pihaknya.

Kes ketiga pula melibatkan serbuan pada 1 Mei ke atas sebuah premis perniagaan sisa kayu di Jalan Lama Pasir Mas- Rantau Panjang dan menemui longgokan sisa kayu seberat satu tan.

Hasil siasatan, Abdul Khalim memberitahu, seorang suspek berusia 40 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut selepas menemui beberapa hasil hutan yang telah ditukar kepada bentuk meja dan kerusi.

“Beliau gagal mengemukakan sebarang dokumen yang membenarkan beliau memiliki hasil hutan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 84(1), Akta Perhutanan Negara 1984: Memiliki Hasil Hutan Secara Menyalahi Undang-undang.

“Mengikut siasatan awal kami, suspek yang terlibat dalam ketiga-tiga kes ini dipercayai membeli hasil hutan ini melalui penduduk kampung yang menghantar ke premis mereka tanpa sebarang kelulusan yang sah dari Jabatan Perhutanan Negeri.

“Barang-barang yang disita kini disimpan di dalam stor penyimpanan pihak kami dan siasatan lanjut sedang dijalankan Unit Siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalim turut menegaskan pihaknya mempunyai kuasa untuk menggeledah dan menyerbu premis-premis berkenaan tanpa sebarang waran mengikut akta-akta yang digunapakai dalam jabatan berkenaan.

Jelasnya, tular di media sosial mendakwa pihaknya bertindak kejam dengan membuat rampasan tanpa sebarang notis sehingga menyebabkan kerugian kepada salah seorang peniaga yang terlibat.

“Sitaan dibuat mengikut Seksyen 89 Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu Menyita Hasil Hutan Yang Menjadi Perkara Kesalahan,” katanya.