FSPU UiTM Shah Alam serah laptop kepada penuntut B40

Jamalunlaili (tiga dari kanan) menyerahkan komputer riba kepada Mohamad Adam (dua dari kiri) pada Program Jejak Prihatin FSPU UiTM Shah Alam di Sungai Besar.
Jamalunlaili (tiga dari kanan) menyerahkan komputer riba kepada Mohamad Adam (dua dari kiri) pada Program Jejak Prihatin FSPU UiTM Shah Alam di Sungai Besar.
A
A
A

SHAH ALAM - Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menyerahkan komputer riba kepada dua penuntut universiti itu yang terdiri dalam kalangan keluarga B40 di sekitar Selangor.

Penerima terawal adalah penuntut jurusan Senibina Dalaman, Nurul Syazliana Buang, 20, dari Kapar dan penuntut jurusan Pengurusan Taman dan Ameniti, Mohamad Adam Mohamad Fozi, 20 dari Sungai Besar, Sabak Bernam.

Dekan FSPU, Profesor Dr Jamalunlaili Abdullah berkata, pihaknya mengambil pendekatan berbeza dalam menyampaikan bantuan komputer riba kepada penuntut dengan turun padang secara terus ke rumah penerima.

"Pihak fakulti memilih untuk pergi rumah ke rumah penuntut adalah untuk melihat sendiri keadaan kediaman penerima.

"Kita dapat mendengar sendiri permasalahan yang mungkin wujud sekali gus pihak fakulti dapat memberi bantuan berkaitan agar suasana pembelajaran secara jarak jauh berada dalam kondusif," katanya dalam satu kenyataan sempena Program Jejak Prihatin, di sini pada Isnin.

Dalam program itu, Jamalunlaili menyerahkan komputer riba tersebut kepada dua penuntut tersebut.

Hadir sama, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr Mohamad Sufian Hasim; Ketua Unit Komunikasi Korporat, Dr Muhammad Azwan Sulaiman dan Penolong Pendaftar, Mohd Suhaizal Suffian Nory.

Menurut Jamalunlaili, FSPU terus komited untuk membantu penuntut yang memerlukan dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, penuntut universiti itu tidak perlu malu untuk menyatakan sebarang masalah dihadapi mereka untuk diketengahkan.

“Pihak fakulti berharap mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin komputer riba ini, seterusnya mempertingkatkan prestasi dan pencapaian akademik masing-masing," katanya.

Selain itu, katanya, FSPU merakamkan ucapan terima kasih kepada penderma dan penaja yang telah memberi sumbangan dalam program berkenaan.

Beliau memberitahu, pihaknya berjaya mengumpul dana melalui sumbangan alumni FSPU melalui penajaan projek Korporat Buku Lima Dekad FSPU dengan kerjasama Persatuan Alumni Alam Bina (PAAB) pada awal tahun ini.

"Kita akan mengagihkan sekurang-kurangnya 50 buah komputer riba kepada pelajar dalam tempoh terdekat," katanya.