Penggunaan katil pesakit Covid-19 cecah 70 peratus di Kedah

Dr Mohd Hayati Othman
Dr Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di hospital-hospital di Kedah telah mencapai tahap 70 peratus ekoran peningkatan kes yang dilaporkan di negeri ini.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pihaknya mengakui bimbang dengan peningkatan kes positif di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, hospital-hospital tersebut perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus katil simpanan bagi menampung kemasukan pesakit-pesakit baru yang mungkin jumlahnya di luar jangkaan.

"Tak silap saya penggunaan katil sekarang sudah antara 70 hingga 80 peratus, sekiranya angka pesakit ini terus bertambah dan kes sembuh pun lambat, ia akan menyebabkan penggunaan katil turut bertambah.

"Antara hospital yang merawat kes-kes Covid-19 yang serius adalah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani," katanya ketika diminta mengulas situasi pandemik dan juga ketersediaan hospital di negeri Kedah.

Sejak 28 April lalu sehingga 2 Mei, Kedah telah mencatatkan lebih 100 kes selama lima hari berturut-turut dengan lima daerah di negeri ini telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (KPK) bermula 1 Mei hingga 14 Mei depan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, Ordinan Darurat juga berjaya memastikan hospital swasta dapat merawat pesakit Covid-19 sekali gus membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh hospital kerajaan.

"Hospital-hospital swasta di negeri ini juga turut memainkan peranan dengan merawat pesakit-pesakit Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut menggesa rakyat agar menyambut seruan kerajaan untuk mendaftar mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.

"Jangan ambil mudah seruan kerajaan mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana penting membentuk kelompok yang ada imuniti kerana kesan jangkitan boleh menurun.

"Ada negara luar rakyatnya dah capai 60 peratus yang mendapatkan suntikan vaksin dan kesannya rakyat mereka sudah tak pakai pelitup muka di tempat awam dan sudah ada perhimpunan perhimpunan.

"Rakyat kita hanya berapa peratus sahaja yang baru disuntik vaksin," katanya.

Pada Ahad media melaporkan kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 di Lembah Klang secara keseluruhannya mencapai 90 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata, enam hospital yang mempunyai katil ICU khusus bagi merawat pesakit Covid-19 dilaporkan melebihi ambang amaran iaitu 70 peratus penggunaannya.