Guan Eng cabar Takiyuddin kemukakan bukti

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencabar Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan untuk mengemukakan bukti berhubung tuduhan wujudnya dua parti komponen PH akan membentangkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Guan Eng, Ahli Parlimen Kota Bharu itu perlu bertanggungjawab atas dakwaan palsu berunsur fitnah dan pembohongan yang dilemparkan itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa PH secara keseluruhan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri (Dr Mahathir) dan menolak sekeras-kerasnya sebarang andaian yang mengatakan sebaliknya.

Tidak ada satu parti komponen PH ataupun mana-mana pemimpin PH yang menyatakan tidak sokong atau mahukan undi tidak percaya ke atas kepimpinan Dr Mahathir baik di dalam atau di luar mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Sebaliknya yang menentang kepimpinan Tun Dr Mahathir tidak lain dan tidak bukan datang daripada Pas sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Bagan itu lagi, tuduhan yang dibuat Takiyuddin itu sebenarnya satu helah untuk mengalihkan perhatian umum mengenai dakwaan pemimpin Pas menerima wang daripada UMNO.

“Pas patut menjawab isu pemimpin mereka menerima wang daripada UMNO sepertimana yang didedahkan oleh Sarawak Report (SR) yang disahihkan benar bila Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri telah menarik balik tindakan saman malu beliau terhadap SR, tanpa meminta laporan SR dipadamkan, tanpa memerlukan SR meminta maaf, dan tanpa SR membayar sesen pun kos mahkamah kepada Presiden PAS.

“Adalah sangat mendukacitakan untuk melihat yang tinggal dalam perjuangan PAS hari ini hanyalah pembohongan bersiri daripada barisan kepimpinan Pas yang menyusuli skandal menerima wang daripada UMNO,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Takiyuddin malam tadi mendakwa dua parti komponen dalam PH mungkin merancang untuk menyingkirkan Mahathir melalui undi tidak percaya di parlimen.

Katanya, Pas berasa ada yang tidak kena dengan cara Dr Mahathir bercakap mengenai sekutunya dalam PH.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahu Pas cakap betul ke bohong: Anwar