Covid-19: Satu lagi bazar Ramadan ditutup

Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Selepas bazar Ramadan Bukit Kenak dan Kuala Besut, sebuah lagi bazar Ramadan di Besut diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) selama tujuh hari bermula Isnin.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, bazar Ramadan Pasir Akar di Hulu Besut ditutup sementara selepas ada peniaga di sana dikesan positif Covid-19.

"Penutupan bazar Ramadan ini berkuat kuasa di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mencegah penularan penyakit," katanya ketika mengesahkan penutupan bazar itu kepada Sinar Harian pada Isnin.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan tiga bazar Ramadan ditutup sementara di Besut setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua bazar Ramadan ditutup, tiga peniaga positif Covid-19

Pada Ahad, bazar Ramadan Bukit Kenak dan Kuala Besut di Besut diarah tutup selama tujuh hari bermula Sabtu susulan terdapat tiga peniaga dari dua bazar berkenaan positif Covid-19.

Terengganu merekodkan 184 kes baharu Covid-19 pada Ahad menjadikan 404 kes aktif Covid-19 di Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 4,419 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 399 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala lima kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan: