Lelaki tendang AJK pangsapuri didenda RM5,500

Syed Mohamad Nizam (kanan) hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin bagi menghadiri prosiding kes ugut dan tendang seorang ahli jawatankuasa pengurusan sebuah pangsapuri, dua tahun lalu.
Syed Mohamad Nizam (kanan) hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin bagi menghadiri prosiding kes ugut dan tendang seorang ahli jawatankuasa pengurusan sebuah pangsapuri, dua tahun lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pemandu lori yang tular menendang dan mengugut ahli jawatankuasa pengurusan sebuah pangsapuri kerana berang disuruh mengalihkan kereta yang diletakkan di luar petak parkir dua tahun lalu didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Syed Mohamad Nizam Syed Hussien, 46, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Mohamad Nizam didapati sengaja mendatangkan kecederaan dengan menendang bahagian badan sebelah kiri, Muhammad Khairul Anwar Khairuddin, 40.

Atas tuduhan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati melakukan khianat dengan merosakkan besi palang pengawal milik pengurusan pangsapuri, boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara pertuduhan ketiga, tertuduh didapati melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan kepada mangsa sama, boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan dilakukan di sebuah pangsapuri di Kota Damansara pada jam 11.30 pagi, 2 November 2019 lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

ARTIKEL BERKAITAN: AJK pangsapuri ditendang gara-gara minta alih kereta

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuan memohon agar didenda dalam kadar yang rendah kerana insaf dan menyesal atas perbuatan tersebut.

Selain itu katanya, tertuduh perlu menyara isteri dan empat anak berusia lapan hingga 20 tahun yang mana mereka masih bersekolah termasuk dua di kolej.

Pada 7 November 2019 lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki bertindak menendang dan mengugut untuk mencederakan ahli jawatankuasa pengurusan sebuah pangsapuri kerana berang disuruh mengalihkan kereta yang diletakkan di luar petak parkir.

Aksinya dirakam dan tular di media sosial serta menerima pelbagai reaksi netizen.

Video berdurasi 34 minit 22 saat itu menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat selepas diminta mengalihkan keretanya yang diletakkan di luar petak parkir pelawat.

Lelaki tersebut yang turut menggelarkan dirinya sebagai Lan Gila dirakam memegang sebatang besi dan beberapa kali mengugut untuk mencederakan sesiapa yang cuba mengunci tayar kenderaannya.