Lelaki pukul adik angkat kerana nampak jin didenda RM1,500

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang bekas pekerja kilang yang memukul adik angkatnya selepas mendakwa melihat jin di belakang wanita berkenaan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Tertuduh, Muhammad Kairol Izuan Ahmad Khairuddin, 33, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan cara memukul muka, bahu dan badan adik angkatnya yang juga seorang perempuan di sebuah pangsapuri di Taman Petaling Utama di sini pada jam 7.30 petang, 28 April lalu.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam bela, Esther Tan Siew Choo merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman yang minimum.

"Saya dimaklumkan, tertuduh bertindak demikian berfikiran ada jin di belakang adik angkatnya.

Artikel Berkaitan:

"Dia memohon maaf atas kejadian tersebut dan keluarga akan membawa tertuduh untuk mendapatkan rawatan mental secara tradisional," katanya.