X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Lima individu dicari jadi saksi kes bunuh

A
A

KAJANG - Polis mencari lima individu termasuk dua remaja perempuan sebagai saksi penting melibatkan kes bunuh yang berlaku pada Mac 2019.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, individu pertama adalah Teenah Pretae, 50 dengan alamat terakhir di Jalan Desa Serdang 1, Taman Desa Serdang, Selangor; kedua, Muhammad Zulfaqar Kamarozzaman, 33 di alamat terakhir di Jalan Kelah 1, Taman Perniagaan Kelah, Batang Kali, Selangor.

"Individu ketiga pula ialah, Mariam Dateh berusia 67 tahun dengan alamat terakhir di Jalan Kelah 1, Taman Perniagaan Kelah, Batang Kali, Selangor.

"Dua lagi iaitu Nur Shah Azlai Fatihah Mohamad Zaki, 15 dan Nur Shah Azlaila Wati Mohamad Zaki, 13, beralamat Jalan Desa Serdang 1, Taman Desa Serdang, Seri Kembangan, Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua individu ini diperlukan untuk siasatan sebagai saksi penting perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Shah Alam, Selangor pada 25 dan 27 Mei serta 3 Jun ini.

Katanya, ia berkenaan kes pada 28 Mac 2019 di mana pihaknya telah menerima maklumat daripada Hospital Kajang berkaitan seorang warga Pakistan yang parah akibat dipukul dan telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami itu.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah berjaya menangkap suspek yang terlibat dan telah dituduh di mahkamah.

"Sehubungan itu, kita memerlukan orang ramai membantu polis mengesan penama berkenaan atau penama ini sendiri tampil ke IPD Kajang bagi membantu siasatan bersabit Kajang 11187/21 di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penama yang dicari itu diminta untuk menyalurkannya kepada pihak polis atau penama ini sendiri boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Ismail Ahmad di talian 019-2306107.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!