Bazar sesak, rakyat Kedah diingatkan jangan jadi pencetus wabak

Gambar tular suasana di bazar Aidilfitri Stadium Darul Aman yang dipenuhi orang ramai tanpa penjarakan sosial.
Gambar tular suasana di bazar Aidilfitri Stadium Darul Aman yang dipenuhi orang ramai tanpa penjarakan sosial.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan rakyat negeri ini agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika berada di kawasan tumpuan orang ramai.

Menurutnya, pengunjung di bazar Ramadan dan Aidilfitri juga diminta untuk menjaga penjarakan fizikal dan elakkan bersesak-sesak di dua tempat kunjungan ramai itu.

“Saya merayu orang ramai patuhilah SOP, pandemik Covid-19 masih belum reda di negeri ini, jadilah pemutus bukannya pencetus wabak,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah mencatatkan kes baharu melebihi 100 kes sehari dalam tempoh lima hari berturut-turut sejak Rabu.

“Pada Rabu terdapat 120 kes baharu, kemudian menurun kepada 105 kes, sebelum melonjak kepada 136 kes hari berikutnya. Manakala pada Sabtu direkodkan sebanyak 111 kes baharu dan 101 kes pada Ahad,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini semua bazar Ramadan di Kedah dibenarkan beroperasi dengan SOP yang diperketatkan.

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor

“Jika berlaku pelanggaran SOP, penutupan bazar tidak dapat dielakkan lagi. Oleh itu, saya harapkan kerjasama orang ramai untuk patuhi SOP agar semua pihak beroleh manfaat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut berharap Kedah tidak menerima nasib sama seperti di Pulau Pinang apabila penganjur bazar Aidilfitri di Midtown Kubang Menerong, Tasek Gelugor dikompaun RM20,000 kerana tidak mematuhi SOP ketika pemeriksaan dijalankan.

Sebelum itu, beliau turut berkongsi gambar suasana di bazar Aidilfitri Stadium Darul Aman yang dipenuhi orang ramai tanpa penjarakan sosial yang dirakamkan netizen di laman Facebook miliknya.

Gambar yang tular di beberapa laman sosial sejak Ahad itu turut mendapat komen daripada netizen antaranya, Muhamad Hafiffy B Halim berkata, "Kemudian orang Alor Setar tanya, awat Alor Setar kena PKPD pula, dah PKP pun begini".

Azly Zainudi turut berkongsi pandangannya, “Kalau kena arahan tutup ada pula yang post gambar ayaq mata, orang dah bagi peluang hampa tak mau guna betul-betul. Organizer tak kawal langsung ka”.