Anak cekik, tetak ibu hingga mati selepas dengar bisikan halus

Rumah didiami mangsa yang maut di Kampung Pesagi, Maran pada 29 April lalu.Gambar kecil: Othman
Rumah didiami mangsa yang maut di Kampung Pesagi, Maran pada 29 April lalu.Gambar kecil: Othman
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara mendengar bisikan suara halus, seorang lelaki bertindak kejam apabila mencekik sebelum menetak ibunya hingga mati menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian di Kampung Pesagi, Maran pada 29 April lalu.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun maut dan mayatnya ditemui dalam keadaan berlumuran darah selain ada kesan tetakan pada dahi, mulut, perut dan tangan kanannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata, suspek berusia 39 tahun yang baru keluar penjara atas kesalahan dadah telah ditangkap di lokasi kejadian pada hari yang sama.

Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati, suspek mengaku menggunakan parang untuk menetak mangsa setelah berhalusinasi mendengar bisikan suara halus memintanya berbuat demikian.

"Suspek memberi kerjasama dengan menunjukkan parang yang digunakan semasa kejadian dan pakaian yang dipakainya semasa kejadian. Semua barang bukti itu telah dirampas oleh polis.

"Semakan juga mendapati, suspek baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara pada bulan Mac lalu atas kesalahan dadah. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mangsa merupakan seorang balu dan mempunyai sembilan orang anak dan tinggal di rumah berkenaan bersama seorang cucu lelaki berumur 10 tahun dan suspek yang merupakan anak sulungnya.

Othman berkata, mangsa dibawa ke Klinik Chenor oleh ahli keluarga bagi mendapatkan rawatan, namun pegawai perubatan yang bertugas ketika itu mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia pada jam 2.10 pagi.

Artikel Berkaitan:

“Pemeriksaan luaran fizikal ke atas mangsa mendapati terdapat luka disyaki akibat tetakan objek tajam pada bahagian dahi, mulut, perut dan tangan kanan.

“Bedah siasat ke atas mangsa oleh Pakar Patologi Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Jumaat lalu mendapati punca kematian mangsa disebabkan trauma berganda akibat objek tajam,” jelasnya.

Beliau berkata, kejadian bermula ketika mangsa yang sedang tidur bersama cucunya telah didatangi oleh suspek yang kemudian menyerang wanita itu.

Tambahnya, suspek bertindak mencekik mangsa menyebabkan wanita itu mengarahkan cucunya untuk melarikan diri.

“Cucu sempat membuka pintu dan berlari untuk mendapatkan bantuan daripada salah seorang anak perempuan mangsa yang tinggal bersebelahan.

"Selepas itu, anak perempuan mangsa bergegas ke rumah itu dan mendapati suspek berada di tepi pintu sambil memegang parang menyebabkannya tidak berani masuk.

"Saya difahamkan dia (anak perempuan) mangsa menghubungi adik beradik lelakinya untuk memaklumkan mengenai kejadian itu,” ujarnya.

Othman memberitahu, siasatan di tempat kejadian mendapati, tempat kejadian merupakan sebuah rumah yang mempunyai dua bilik tidur.

Tambahnya, terdapat kesan darah pada lantai ruang tamu rumah tersebut dan keadaan di ruang tamu berselerak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 5 Mei depan bagi membantu siasatan," katanya.