MPV, URB polis KL tahan 285 individu sejak Januari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan mobile patrol vehicle (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis Kuala Lumpur menahan 285 individu atas beberapa kesalahan jenayah sejak Januari hingga 25 April lalu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, seramai 110,749 individu dan 93,807 buah kenderaan telah diperiksa dalam tempoh itu.

Menurutnya, dua pasukan itu merupakan elemen terpenting dalam pencegahan jenayah di Bandaraya Kuala Lumpur.

"Pasukan ini berperanan sebagai 'first responder' serta melakukan tangkapan terhadap individu-individu yang terlibat dengan kegiatan jenayah.

"Pasukan ini juga bertanggungjawab dalam menyampaikan hebahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 di sekitar kawasan sekolah dan kawasan tumpuan orang ramai," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pasukan MPV dan URB Kuala Lumpur akan terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat di bandar raya ini.

Katanya, pihaknya menyeru orang ramai agar dapat membantu dalam menyalurkan maklumat berkenaan perlakuan jenayah kepada anggota MPV dan URB Kontinjen Kuala Lumpur.

"Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun di telefon pintar," katanya.

Artikel Berkaitan: