China pantau pergerakan 2.5 juta penduduk Xinjiang

Kamera keselamatan dipasang di pintu masuk masjid di Kashgar, Xinjiang.
Kamera keselamatan dipasang di pintu masuk masjid di Kashgar, Xinjiang.
A
A
A

BEIJING - CHINA. Sebuah firma pengawasan di China menjejaki pergerakan lebih 2.5 juta penduduk di wilayah Xinjiang, menurut data dibocorkan yang ditandakan oleh pakar internet Belanda.

Pangkalan data dalam talian mengandungi nama, nombor kad pengenalan, tarikh lahir dan data lokasi tidak dilindungi selama beberapa bulan oleh syarikat teknologi pengenalan wajah, SenseNets Technology berpusat di Shenzhen.

Menurut pengasas bersama pertubuhan bukan berasaskan keuntungan GDI.Foundation yang mengesan perkara itu di media sosial pada minggu lalu, kira-kira 6.7 juta lokasi data ditanda dengan penerangan seperti masjid, hotel, kafe internet dan lokasi lain di mana kamera boleh ditemui.

"Ia terbuka sepenuhnya. Pangkalan data itu boleh diakses, dibaca, dikemaskini dan dipadamkan sesuka hati," kata Victor Gevers.

Difahamkan, SenseNets bekerjasama dengan polis di beberapa bandar manakala syarikat induknya, NetPosa Technologies mempunyai pejabat di kebanyakan wilayah termasuk Xinjiang.

Kamera pengawasan, pusat pemeriksaan keselamatan dan polis antirusuhan telah dikuatkuasakan di seluruh Xinjiang sejak beberapa tahun lalu kononnya untuk memerangi keganasan ektremisme di wilayah terbabit. - Daily Mail

Artikel Berkaitan: