'Tiada rentas negeri, tetamu hadir kebetulan berada di KL' - Siti Nurhaliza

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tampil menjelaskan isu kehadiran individu-individu ternama ke majlis tahnik anak lelakinya, Muhammad Afwa Khalid pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

Menurutnya, tidak ada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku membabitkan undangan seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu di majlis itu.

“Di sini, kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

“Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti yang tertakluk pada tempoh itu,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebooknya pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan pengguna media sosial mempersoalkan isu kehadiran individu-individu ternama ke majlis tahnik yang diadakan oleh Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Antara yang dapat dilihat pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiga penceramah terkenal iaitu Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.

Warganet mempersoalkan kehadiran Dr Zulkifli dan Azhar Idrus yang dikatakan merentas negeri kerana menetap di luar dari kawasan Selangor atau Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen persoal kehadiran individu ternama di majlis tahnik anak Siti Nurhaliza

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Siti Nurhaliza berkata, majlis berkenaan terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad.

“Dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh mengikut sunnah Rasulullah,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kehadiran Dr Zulkifli, Siti Nurhaliza berkata, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

Beliau berkata, Dr Zulkifli sebaliknya hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum bergegas pulang untuk urusan lain.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin,” katanya.

Menurutnya, penjelasan yang diberikan bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

“Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

“Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan,” katanya.