SPRM serah kembali subsidi upah pada pekerja

Azmi (depan, tiga dari kiri) bersama pekerja yang layak menerima bantuan Program Subsidi Upah. (Foto: SPRM)
Azmi (depan, tiga dari kiri) bersama pekerja yang layak menerima bantuan Program Subsidi Upah. (Foto: SPRM)
A
A
A

BATU PAHAT - Seramai lapan pekerja yang sebelum ini dinafikan hak oleh majikan untuk menerima bantuan bagi Program Subsidi Upah (PSU) menerima khabar gembira apabila bantuan itu dikembalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penyerahan itu dilakukan sendiri Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias dalam Program Menyantuni Masyarakat: Sinar Khas Ramadan pada Ahad kepada penerima yang layak.

Menurut Azmi, program itu adalah rentetan daripada siasatan pihak SPRM Johor berkaitan PSU, yang mana pihak syarikat yang terlibat didapati mengemukakan tuntutan palsu kepada kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Pada 3 Mac lalu, seorang pengarah syarikat di Machap telah didakwa atas kesalahan membuat tuntutan palsu PSU. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 atas dua kesalahan dan tuntutan berjumlah RM9,600 yang kemudiannya dilucut hak kepada kerajaan manakala RM7,780.50 dikembalikan kepada pekerja yang layak.

“Kes ini adalah julung kali dilaksanakan, sebagai mana perintah mahkamah untuk SPRM Johor sendiri menyampaikan wang yang dituntut oleh syarikat tetapi tidak diserahkan kepada yang berhak. Untuk kali ini, kita telah serahkan kepada lapan pekerja yang layak,” katanya dalam satu kenyataan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid.

Jelas Azmi, penyerahan itu memberi gambaran yang jelas bahawa SPRM bukan sahaja mendakwa pemberi dan penerima rasuah, bahkan membela nasib pekerja yang dinafikan hak oleh individu atau syarikat.

Katanya, orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang penyelewengan mana-mana peruntukan kerajaan oleh pihak tertentu.

Artikel Berkaitan: