Nelayan Vietnam semakin berani

Bot nelayan yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut (foto: Ihsan Maritim Malaysia)
Bot nelayan yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut (foto: Ihsan Maritim Malaysia)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bukan sahaja tidak takut terhadap tindakan undang-undang, malah nelayan Vietnam dilihat semakin berani apabila pihak penguatkuasa negara mereka turut masuk campur semata-mata untuk melindungi kesalahan yang dilakukan.

Tindakan tidak bertanggungjawab pihak penguat kuasa negara itu terbongkar apabila didakwa turut mengganggu aset Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Malaysia ketika menjalankan tugas di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Pada Jumaat lalu, antara jam 11.30 pagi hingga 2 petang, tiga bot nelayan Vietnam ditahan Kapal Maritim (KM) GEMIA selepas didapati melakukan kesalahan menceroboh perairan negara untuk merompak hasil laut negara di kedudukan lingkungan lebih kurang 119 ke 120 batu nautika Timur Laut Kuala Terengganu, di sini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, ketika proses penahanan itu, muncul tiga kapal penguatkuasa Vietnam yang bertindak memasuki perairan negara untuk menghalang KM GEMIA dengan menghimpit bot tahanan dan membayangi aset mereka.

"Pada awalnya penguatkuasa Vietnam meminta melepaskan bot-bot nelayan mereka, tetapi kami tidak memenuhi permintaan itu kerana mereka didapati melakukan kesalahan menceroboh perairan Terengganu untuk merompak hasil laut negara.

"Tindakan cekap dan gigih anggota KM GEMIA yang sentiasa tegas mengingatkan mereka sudah menceroboh dan berada dalam perairan negara menyebabkan aset penguatkuasa negara mereka beredar daripada merapati bot tahanan dan seterusnya keluar dari perairan negara," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan pada Isnin.

Antara bot milik nelayan Vietnam yang ditahan (foto: Ihsan Maritim Malaysia)
Antara bot milik nelayan Vietnam yang ditahan (foto: Ihsan Maritim Malaysia)

Muhammad Suffi berkata, tiga bot berserta 19 kru termasuk tekong berusia antara 21 hingga 61 tahun ditahan selain turut merampas 1.5 tan hasil laut, 4,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM4.5 juta.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun kami berdepan sedikit kesukaran memandangkan dua daripada bot tahanan mengalami kerosakan sehingga terpaksa ditunda. Kami terpaksa mengambil masa 55 jam dengan kelajuan hanya tiga knot untuk membawa kesemua rampasan masuk ke Jeti Maritim Terengganu

"Kesemua bot, kru dan rampasan tersebut di bawa masuk ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut." katanya.

Kes kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara itu, Muhammad Suffi berkata, pihaknya berjaya menahan 87 bot nelayan asing dengan 960 kru keseluruhannya sepanjang Ops Kuda Laut dilancarkan khusus bagi membanteras pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam.