Tujuh lagi sekolah ditutup di Negeri Sembilan

SMK Seremban 2 yang merupakan sekolah pertama ditutup pada 22 April lalu akan terus ditutup sehingga 7 Mei depan. - Foto Bernama
SMK Seremban 2 yang merupakan sekolah pertama ditutup pada 22 April lalu akan terus ditutup sehingga 7 Mei depan. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Tujuh lagi sekolah di Negeri Sembilan diarahkan tutup selama dua hari bermula Isnin selepas terdapat pengesanan kes positif Covid-19.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, penutupan itu atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi membolehkan pihaknya mengesan kontak rapat dan proses disinfeksi.

"Sekolah menengah yang diarah tutup iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Gemas, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa II, SMK Mambau dan SMK Dato Klana Raja.

"Sekolah rendah pula melibatkan Sekolah Kebangsaan(SK) Chembong, SK Dato Klana Putra dan Sekolah Jenis Kebangsaan(SJK) Cina Bandar Seri Sendayan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, sebanyak 10 sekolah yang diarahkan tutup sebelum ini juga dilanjutkan penutupannya sehingga Selasa iaitu SK Si Rusa, SK Lavender Height, Sekolah Menengah Agama Rembau, SK Jimah Baru, SK Desa Cempaka, SMK Desa Cempaka, SK Taman Seri Mawar, SK Bandar Seri Sendayan, SK Sega dan SJK Tamil Ladang Tanah Merah.

Mohamad Rafie berkata, penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan, nasihat dan penilaian risiko oleh PKD yang berkaitan.

Katanya, SMK Seremban 2 yang merupakan sekolah pertama ditutup pada 22 April lalu juga akan terus ditutup sehingga 7 Mei depan.

Artikel Berkaitan: