Polis Dang Wangi terima 23 laporan palsu kehilangan MyKad

Mohamad Zainal Abdullah
Mohamad Zainal Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Daerah Dang Wangi telah membuka 23 kertas siasatan berkaitan laporan palsu daripada orang ramai yang mendakwa telah dirompak menyebabkan kehilangan harta benda serta MyKad sejak 1 Januari hingga 27 April lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, setelah siasatan dijalankan mendapati laporan polis tersebut adalah palsu bagi mengelak dikenakan penalti oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sebanyak 14 kes telah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

"Serta Peraturan 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Mohamad Zainal berkata, manakala sembilan kes lagi masih dalam siasatan.

"Kita menggesa orang ramai agar tidak membuat laporan palsu bagi melindungi perbuatan salah yang dilakukan. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati membuat laporan palsu," katanya.

Artikel Berkaitan: