Penerbangan dari India hanya kargo

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penerbangan Malaysia Airlines dari India yang tular di media sosial hingga menimbulkan kegusaran orang ramai berhubung risiko penularan wabak Covid-19 adalah penerbangan kargo.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), MAS Kargo di bawah kendalian Malaysia Airlines Berhad dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta berkenaan.

”Penerbangan pesawat penumpang kosong dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu dan pernah dipraktikkan Malaysia Airports Berhad (MAB) selama berbulan-bulan sebelum ini susulan pandemik Covid-19.

Malah, katanya, semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.

"Pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini. Bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk warga Malaysia yang memasuki negara ini dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.

”Semua kru iaitu juruterbang, jurutera dan kru kabin tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana kru penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat berkenaan.

”Pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuat kuasa 28 April 2021,” kata Ka Siong.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menjelaskan, warga Malaysia sama ada pelajar dan pekerja, keluarga dan pasangan bukan warga Malaysia yang pulang ke negara ini dari India juga dibenarkan dengan kuarantin mandatori selama 14 hari di pusat yang ditetapkan.

Ka Siong berkata, beliau kesal dengan penyebaran beberapa maklumat salah mengenai status penerbangan tersebut.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di seluruh dunia dengan mengambil langkah-langkah diperlukan.